Jambatan Bailey atasi masalah jalan runtuh di Felda Selancar

Iklan
Ahmad Zahid meninjau keadaan jalan utama ke Felda Selancar yang runtuh akibat limpahan air deras pada Rabu.

KUANTAN - Jambatan Bailey atau jambatan mudah alih akan dipasang segera untuk membantu penduduk di Felda Selancar dan kawasan sekitarnya yang terputus hubungan selepas jalan utama ke kawasan itu runtuh akibat limpahan air deras pada awal pagi Rabu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jambatan itu akan disediakan pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyediakan peruntukan dan menghubungi Panglima Tentera Darat untuk menghantar Kor Jurutera DiRaja Angkatan Tentera Darat bagi membina jambatan itu.

"Pemasangan akan dilakukan segera selepas jambatan itu sampai dan dijangka mengambil masa antara 48 hingga 72 jam.

Iklan

"Paling penting langkah itu akan dapat membantu memulihkan kembali jalan perhubungan penduduk yang terjejas ke kawasan luar" katanya.

Beliau berkata demikian selepas turun padang meninjau lokasi kejadian pada petang Rabu.

Iklan

Ahmad Zahid berkata, akibat kejadian jalan runtuh itu, kira-kira 110 pelajar kawasan itu tidak dapat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ekoran kertas peperiksaan tidak sampai dan terdapat juga pesakit diabetes dan ibu mengandung yang memerlukan rawatan.

"Pemasangan jambatan ini adalah langkah sementara bagi memastikan laluan terlibat dapat digunakan semula sebelum jalan baharu dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) nanti.

"Memandangkan cuaca hujan berterusan selama beberapa hari, saya berharap penduduk kawasan yang terdedah banjir mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan daripada pihak berkuasa," katanya.