PENDAHULU Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal memiliki para pemain yang boleh membantu kelab utara London itu menjadi lebih sukar dijangka, kata pengurus Mikel Arteta, ketika The Gunners dalam percubaan melebarkan kelebihan lima mata di puncak carta liga apabila melayan kunjungan Everton di Stadium Emirates.
Arsenal mendahului kedudukan liga dengan 57 mata selepas 24 perlawanan, dua mata di atas pasukan tangga kedua Manchester City yang telah bermain lebih satu perlawanan.
"Sejujurnya kami mempunyai pilihan sekarang, apabila memiliki para pemain yang kembali pulih daripada kecederaan.
"Ini penting kerana para pemain tidak dapat mengekalkan tahap yang sama selama 10 bulan, ia adalah mustahil.
"Kami perlu berubah dan menjadi lebih sukar diramalkan dan kami gembira memiliki kelebihan itu sekarang,” kata Arteta.
"Itu tidak bermakna apa-apa,” kata Arteta apabila menegaskan masih terdapat 13 perlawanan yang perlu diharungi para pemainnya.
Untuk rekod, Arsenal hanya tewas tiga perlawanan liga musim ini, termasuk kekalahan 0-1 di Everton pada 4 Februari.
Arteta berkata, pasukannya akan menyasarkan prestasi yang lebih baik kali ini menentang skuad kendalian Sean Dyche tersebut.
"Ini peluang untuk kami melakukan yang lebih baik berbanding ketika berdepan mereka beberapa minggu lalu seterusnya memenangi perlawanan ini,” katanya.
Sementara itu, Arteta memaklumkan Thomas Partey berkemungkinan tidak bermain menentang Everton selepas pemain tengah itu diturunkan ketika menang 1-0 ke atas Leicester City pada hujung minggu.
"Dia tidak banyak berlatih, dia hanya ada satu sesi. Dia akan berlatih hari ini. Dia tidak bermain selama beberapa minggu, dan dia perlu mendapatkan rentak,” kata Arteta.