Exco Perak nyata sokongan kepada Ahmad Faizal

Iklan
Asmuni (duduk, dua kanan) mengetuai sidang media yang dihadiri Exco Kerajaan Perak dan ADUN PH bagi menyatakan sokongan kepada Ahmad Faizal.

IPOH - Semua Exco Kerajaan Perak menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Exco Kanan Kerajaan Perak, Asmuni Awi berkata, bukan sahaja Exco Kerajaan Perak, semua ADUN PH serta kepimpinan parti masing-masing turut memberikan sokongan padu kepada Ahmad Faizal yang mengetuai PH Perak.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penyebaran rakaman audio yang mengaitkan khabar angin mengatakan ketiadaan sokongan terhadap Menteri Besar Perak baru-baru ini disifatkan sebagai satu propaganda dan iri hati pihak tertentu.

"Isu ini sebenarnya menambahkan perpaduan kami dan menguatkan lagi hubungan kami sebagai sebuah keluarga demi kepentingan rakyat.

Iklan

"Kami berjanji kepada rakyat Perak untuk meletakkan agenda rakyat sebagai keutamaan kami demi untuk memastikan peningkatan taraf ekonomi dan kesejahteraan rakyat," katanya kepada pemberita di Bilik Sidang Media DUN Perak, Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang media itu, semua Exco Kerajaan Perak dan beberapa ADUN PH.

Iklan

Sementara itu, Asmuni berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk mengesahkan ketulenan rakaman audio yang disebarkan.

Sebelum ini, rakaman audio dikatakan mirip suara salah seorang Exco Kerajaan Perak tersebar di media sosial yang dikaitkan dengan usaha untuk menjatuhkan Menteri Besar Perak.

Dalam video rakaman audio berdurasi 4 minit 22 saat itu, individu yang dikatakan Exco Kerajaan Perak itu meluahkan rasa kurang berpuas hati dengan cara Ahmad Faizal mentadbir Kerajaan Perak selepas PRU14 lalu.

Berdasarkan rakaman tersebut, individu itu juga mendedahkan beberapa perangai Ahmad Faizal yang tidak disenanginya.

Menerusi rakaman video itu juga, individu itu juga mendedahkan ada pihak mahu Ahmad Faizal dijatuhkan dan ditukarkan dengan Menteri Besar baharu.

Laporan polis juga telah dibuat Armada Bersatu Perak meminta siasatan dibuat ke atas individu di dalam rakaman video itu.