SUDAH tiba masanya pemain remaja diberi peluang untuk membuktikan kemampuan mereka dalam kejohanan di peringkat senior.
Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai berkata, idea tersebut adalah antara cadangan dikemukakan oleh bekas jaguh-jaguh badminton negara dalam mesyuarat Panel Penasihat Teknikal ABM pada Selasa.
Menurut Michelle, langkah itu sangat penting bagi membantu pemain remaja merasai pengalaman bermain pada peringkat tertinggi seperti yang telah diamalkan oleh beberapa negara lain yang menghantar pemain muda mereka pada kejohanan senior.
"Jika anda berusia 16 tahun di sini, anda masih junior dan bermain dalam kejohanan remaja sahaja. Anda perlu menunggu untuk naik senior, baru main (dalam kejohanan) senior.
"Jadi, jika ada seseorang yang kelihatan berbakat, anda mungkin membawanya berlatih sekali-sekala dengan skuad senior atau menghantar mereka bermain untuk kejohanan senior.
Justeru, menurut Michelle, beliau akan berbincang lebih lanjut dengan ketua jurulatih perseorangan remaja, Datuk Misbun Sidek dan pengendali beregu remaja, Rexy Mainaky mengenai bagaimana mereka boleh menerapkan idea tersebut.
Selain itu, Michelle menyifatkan mesyuarat yang julung kali diadakan pada Selasa amat bermanfaat berikutan pertukaran idea antara anggota panel termasuk pemain legenda dengan ABM.
Panel penasihat itu ditubuhkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) awal bulan lalu bagi menambah baik prestasi skuad kebangsaan.
Panel tersebut dianggotai oleh tujuh pemain legenda badminton negara iaitu Datuk Lee Chong Wei, Koo Kien Keat, Tan Boon Heong, Datuk Seri Jalani Sidek, Datuk Cheah Soon Kit, Roslin Hashim dan Ong Ewe Hock.
Ia turut dianggotai oleh Naib Presiden BAM, Datuk Teoh Teng Chor dan Datuk Ng Chin Chai; Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail serta bekas Ketua Pengarah MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abd Aziz. - Bernama