SHAH ALAM - Sindiket penipuan pelaburan yang didalangi warga United Kingdom (UK) dikesan telah membeli data-data pengguna di sesebuah negara untuk dijadikan sasaran sebagai mangsa.
Kegiatan scammer yang menjadikan boiler room atau markas pusat panggilan akan memainkan peranan bagi membuat panggilan serta menghantar e-mel kepada pelabur yang berminat menyertai pelaburan yang ditawarkan sindiket.
Bagi menjerat mangsa, laman-laman web palsu akan dicipta dengan memaparkan iklan-iklan pelaburan yang dilihat seperti tulen.
Para pelabur yang berminat kemudian akan memasukkan e-mel dan nombor telefon untuk dihubungi.
Bagi menyukarkan kegiatan dikesan pihak berkuasa, sindiket ini menyasarkan mangsa dalam kalangan warga luar negara antaranya UK dan Australia.
Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, laman web palsu yang dicipta sindiket berkenaan adalah ‘mirror’ atau cerminan kepada laman web sebenar.
Menurutnya, sindiket tersebut bergerak licik dengan menstrukturkan pecahan operasi agar semua bukti sukar dikesan oleh pihak berkuasa.
"Boiler room akan memainkan peranan bukan sahaja membuat panggilan dan menghantar e-mel tetapi mencipta laman web palsu menyerupai website sebenar dengan memaparkan iklan-iklan pelaburan tertentu bagi menarik pelabur dari negara terbabit.
"Modus operandi sindiket adalah membeli data pengguna di negara terbabit contohnya senarai data pengguna di Australia untuk dihubungi.
"Siasatan awal mendapati, sindiket akan membuat panggilan sekitar 100 hingga 200 panggilan setiap hari untuk meyakinkan pelabur kononnya menerima pulangan lumayan, apa projek seterusnya dan lain-lain,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian, baru-baru ini.
Beliau memberitahu, ahli sindiket juga mempunyai kemahiran psikologi untuk memujuk para pelabur yang bakal dijadikan mangsa mereka.
Jelas beliau, sindiket mempunyai panduan tertentu contohnya apabila panggilan telefon ke atas seseorang sedang sibuk, mereka tahu bagaimana hendak memastikan orang itu akan menghubungi semula.
"Sindiket tahu bagaimana hendak dekati individu seperti cara berhubungan dengan orang Eropah dan di sini peranan psikologi diguna mempengaruhi mangsa.
"Anggota sindiket ibarat broker, mereka mahir dalam menguruskan perkara membabitkan kewangan dan pelaburan serta tahu hendak meyakinkan mangsa. Mereka (sindiket) ialah pakar dan tahu saham apa yang naik dan turun kerana ada antara mereka pernah berkhidmat dengan firma pelaburan.
"Ahli sindiket yang berjaya mendapatkan mangsa dipercayai akan dibayar AU$500 dan ini tidak termasuk dengan gaji bulanan,” katanya.
Tambahnya, siasatan SPRM juga mendapati terdapat pelabur yang menjadi mangsa hingga ada yang kerugian sehingga mencecah AU$15 juta.
Kata Mohammad Zamri, bagi menyukarkan pergerakan dikesan pihak berkuasa, sindiket memiliki aplikasi auto-delete bagi menghapuskan sebarang bukti panggilan dan akan berubah lokasi dalam tempoh dua hingga tiga bulan.
"Setiap panggilan yang dibuat kepada pelabur, ahli sindiket juga tidak memperkenalkan nama tapi hanya menggunakan nombor.
"Sindiket ini memang ‘dicipta’ dengan kaedah untuk menghapuskan bukti dan supaya tidak dapat dikesan,” tegasnya.
Beliau menambah, SPRM mendapati boiler room yang ada ini akan difrancaiskan untuk dijadikan pusat panggilan scammer di negara lain seperti di Filipina, Indonesia, Kemboja termasuklah Malaysia.
"Kita tidak boleh nafikan penglibatan orang tempatan dengan sindiket. Kita risau orang tempatan yang terlibat akan ambil kesempatan dengan mewujudkan boiler room baharu dan penipuan lain yang menyasarkan mangsa warga tempatan dengan setiap situasi yang akan ditambah baik,” katanya.
Jelas beliau lagi, peranan jaringan sindiket juga berbeza termasuklah yang membuat panggilan dan menerima transaksi wang.
"Contohnya, pelabur dari negara A, panggilan dari negara B tetapi bayaran seterusnya dari negara lain.
"Struktur ini dipecahkan supaya dari segi bukti atau eviden adalah sukar dikesan. Wang yang disalurkan ke Malaysia pergi ke negara lain dan kembali ke Malaysia dengan menggunakan beberapa kaedah termasuk cash currier selain pengurup wang untuk tujuan pembiayaan operasi di sini (Malaysia),” katanya.
Guna 24 lapisan cuci duit
Kata beliau, aset atau wang hasil jenayah ini akan ‘dikaburkan’ dengan banyak kaedah.
"Sekurang-kurangnya didapati terdapat 24 layering (lapisan) antaranya pembelian hartanah, harta benda, derma selain pembabitan dengan jenayah lain.
"Kita juga percaya sindiket penipuan ini membabitkan penglibatan warga tempatan yang berperanan membantu pembukaan syarikat, permit imigresen serta sewa premis.
"Siasatan awal mendapati dipercayai lebih 20 pihak berkuasa dan golongan profesional yang disyaki telah dirasuah oleh sindiket,” dakwanya.
Beliau berkata, sindiket menipu warga luar untuk melabur dan siasatan awal mendapati terdapat isu rasuah bukan sahaja melibatkan pihak penguat kuasa tertentu tapi juga pihak lain iaitu golongan profesional yang membantu sindiket terbabit.
INFO
Serbuan pada 21 & 28 Februari
- 25 premis sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang
- 81 tangkapan
- 74 akaun berjumlah RM11 juta dibeku
Agensi terlibat:
- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)
- CyberSecurity MalaysiaSuruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC)
- Telekom Malaysia (TM)
- Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
- Tenaga Nasional Berhad (TNB)
- Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
- Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK)
*Sindiket aktif sejak 2019
*Kerugian mangsa AU$60 juta (kira-kira RM200 juta)