‘Pengadil kita masih berwibawa, berkualiti’

Iklan
Keratan akhbar laporan Sukan Sinar. Gambar kecil: Amir Sharifuddin

PEMILIHAN pengadil untuk mengendalikan saingan liga tertinggi negara Liga Malaysia (Liga-M) khasnya Liga Super perlu dilakukan dengan lebih teliti bagi memastikan perlawanan berlangsung dengan lancar tanpa sebarang pertikaian pada masa depan.

Malah tanpa berselindung bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Amir Sharifuddin Wong percaya kewibawaan dan kualiti pengadil negara ini masih berada pada tahap terbaik biarpun terpalit beberapa isu kebelakangan ini.

Iklan
Iklan

Namun jelasnya, pelantikan individu untuk mengendalikan saingan liga berintensiti tinggi juga perlu dilakukan selepas penilaian semua aspek dan bukan pemilihan sembrono.

"Ya, kita ini manusia tidak terlepas melakukan kesilapan begitu juga dengan para pengadil, namun pemilihan individu untuk tugasan perlawanan perlu dibuat secara tertib.

Iklan

"Bagi saingan liga tahap tinggi seperti Liga Super kita tidak boleh lagi melakukan trial and error sebaliknya perlu meletakkan individu yang mampu menggalas tanggungjawab pada tahap terbaik.

"Sebenarnya sokongan kelab, jurulatih dapat membantu mempercepatkan proses pembangunan para pengadil di negara ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Iklan

Mengulas lanjut Amir berkata, seseorang pengadil itu apabila membuat sebarang keputusan ia berdasarkan situasi yang dilihat dan interpretasinya pada ketika kejadian.

"Paling penting dia perlu dilihat dalam keadaan pasti dan bukannya teragak-agak ataupun dipengaruhi oleh tindak tanduk para pemain atau gangguan suara-suara dari luar padang dalam membuat sebarang keputusan.

"Namun sekiranya dilihat semula ulang tayang berlakunya kesilapan selepas itu bermakna dia tidak juga terlepas daripada melakukan kesilapan.

"Sebagai pengadil, dia harus terima dan mengambil tanggungjawab kerana dia bukan maksum tidak terlepas melakukan kesilapan,” katanya.

Namun tegas Amir, bagi pengadil yang bertaraf FIFA, mereka perlu sentiasa berusaha memastikan berada dalam kelas tersendiri dengan memastikan prestasi konsisten setiap perlawanan.

Katanya, keputusan konsisten juga perlu kekal sama dalam konteks insiden, situasi dan masa setiap perlawanan yang dikendalikannya.

"Dia juga perlu terbuka dan menerima teguran atau kritikan daripada penonton, jurulatih arau penilai pengadil berkenaan kualiti pengadilannya,” katanya.

Mengulas lanjut luahan hati pengendali Kuala Lumpur City, Bojan Hodak terhadap mutu pengadilan ketika The City Boys menentang Penang FC, Amir mengakui tidak terkejut senario yang melanda arena bola sepak negara ketika ini.

Malah katanya, senario yang berlaku ini merupakan lanjutan daripada situasi yang berlaku sejak 10 tahun lalu.

"Setiap kali pada permulaan saingan liga pada musim baharu pasti akan wujud masalah yang melibatkan mutu pengadilan dan kesilapannya.

"Bagi saya situasi ini berlaku disebabkan kurangnya match practice (perlawanan latihan) oleh para pengadil.

"Sekiranya kita lihat dengan teliti bukan semua persatuan bola sepak negeri atau kelab menganjurkan liga-liga di peringkat masing-masing. Tanpa kewujudan peluang untuk pengadil beraksi di liga peringkat yang rendah (negeri atau daerah), maka perlawanan Liga-M yang dilantik itu menjadi perlawanan rasmi dan juga latihannya. Itulah sebab kemungkinan untuk melakukan kesilapan adalah tinggi.

"Ya, para pengadil ini melakukan persiapan latihan fizikal dan mental dengan menonton klip video perlawanan tertentu sebelum bermula saingan liga, tetapi persediaan ini jauh berbeza daripada persediaan di dalam mengendalikan sesuatu perlawanan sebenarnya kerana persediaan daripadanya pendedahan lebih dalam match practice merupakan asas penting untuk meningkatkan prestasi, kewibawaan dan kualiti para pengadil.

"Senario pengadilan kurang berkualiti ini akan berlarutan sekiranya kita berterusan kurang memberikan penekanan dalam aspek pembangunan para pengadil. Mana mungkin bangunan tinggi akan kukuh jika dasar atau foundationnya lemah?,” katanya yang berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), persatuan bola sepak negeri dan kelab mengambil tanggungjawab dalam menggerakkan program-program pembangunan pengadil negara ini di peringkat akar umbi.