SHAH ALAM - Diberi tanggungjawab untuk menggalas peranan sebagai hos program Town Hall Rakyat, pelakon popular, Azhar Sulaiman, 52, mengakui ia sedikit sebanyak memberi tekanan buat dirinya.
Bagaimanapun, bapa kepada tiga orang cahaya mata itu menganggap ia sebagai satu cabaran baharu perlu disahut memandangkan sebelum ini beliau hanya mengacarakan program hiburan yang lebih santai.
"Saya mengaku agak gemuruh kerana biasanya apabila melibatkan topik yang serius, saya dipanggil sebagai panel untuk memberi pandangan.
"Ia satu cabaran yang besar dan baharu bagi saya. Di peringkat umur begini dengan berbekalkan sedikit pengalaman, insya-ALLAH saya mampu untuk menggalas tanggungjawab ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas mengenai program itu, Azhar berkata, ia merupakan satu inisiatif yang baik daripada Sinar Harian dalam usaha memberi pencerahan dan penyelesaian berhubung isu-isu berbangkit.
Ujarnya, sebagai hos, beliau menggalas tanggungjawab besar dengan membawa imej akhbar bahasa Melayu nombor satu di Malaysia itu sebagai media yang sering mengendalikan temu bual bersama figura terkemuka negara.
"Saya harap agar masyarakat akan terus setia bersama Sinar Harian yang selama ini konsisten menyediakan platform alternatif untuk rakyat mengetahui dan berinteraksi secara langsung dengan tokoh pelbagai bidang.
"Akhbar ini bukan sekadar menyediakan pentas, malah mendahului dalam setiap usaha untuk menyelesaikan atau memperjuang isu yang hangat diperkatakan oleh masyarakat,” jelasnya.
Town Hall Rakyat adalah program yang menyediakan ruang interaktif untuk rakyat bersemuka dan bertanya soalan dengan tokoh dan pemimpin di Malaysia.
Edisi pertama program tersebut akan menampilkan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang akan bersiaran secara langsung di semua platform Sinar Harian pada 6 Mac depan, jam 8.30 malam.