BARU-baru ini penulis berkesempatan berbual dengan Exco Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah untuk bermengenai beberapa perkara berhubung pemerkasaan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu.
Perbualan menjurus kepada aspek sukan sekiranya kerajaan negeri menguatkuasakan tindakan terhadap mana-mana individu Islam yang berpakaian tidak sopan di tempat awam.
Fokus penulis adalah berkaitan dengan batasan pemakaian atlet sukan yang sudah semestinya menjadi tumpuan dan menarik perhatian umum, khususnya ketika sedang beraksi dalam satu-satu perlawanan.
Ia juga selaras dengan beberapa pindaan dan tambahan enakmen baharu yang telah diluluskan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Disember tahun lalu.
Menurut Wan Sukairi, garis panduan pemakaian termasuk atlet sama seperti digariskan terhadap orang awam.
Katanya, kerajaan juga telah menubuhkan jawatan baharu di Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) iaitu Pegawai Hal Ehwal Agama yang berperanan mendidik dan melengkapkan diri seseorang atlet hal berkaitan agama termasuk aspek pemakaian serta penampilan.
Namun katanya, pendekatan yang digunakan adalah secara berhemah atau dalam bahasa mudahnya melalui pendidikan dan galakan.
Berhubung isu aurat atlet berbasikal yang sebelum ini hangat diperkatakan di media sosial, beliau berkata, kerajaan Terengganu akan memperkenalkan pakaian mesra syariah bagi atlet berbasikal lelaki dan wanita di negeri itu bulan ini.
Pakaian mesra syariah dipilih sebagai pengenalan kepada pakaian lebih sopan dan selesa kepada atlet serta yang aktif dalam sukan tersebut.
Mesra syariah boleh dikatakan hampir menepati kehendak syariah Islam tetapi belum mencapai 100 peratus pakaian patuh syariah.
Penulis pernah membaca tulisan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah disiarkan pada Mac 2021 yang menyentuh mengenai aurat, khususnya atlet berbasikal.
Katanya, Islam menitikberatkan soal etika berpakaian demi menjaga batasan aurat ditetapkan syarak yang wajib dijaga setiap orang Islam sama ada lelaki atau wanita.
Ia termasuk melakukan aktiviti berbasikal, beriadah dan selainnya dengan memakai pakaian menutup seluruh auratnya serta longgar daripada dilihat oleh bukan mahram.
Beliau menjelaskan, Rasulullah SAW juga ada menerangkan mengenai golongan yang berpakaian namun dikira sebagai bertelanjang:"Dan wanita yang berpakaian, tetapi bertelanjang, cenderung kepada kemaksiatan dan membuat orang lain cenderung kepada kemaksiatan.” (Hadis Riwayat Muslim).
Hadis tersebut menerangkan bahawa sebarang pakaian yang bersifat ketat, apatah lagi pakaian nipis sehingga tidak menutupi badan si pemakainya ketika bersukan dikira sebagai bertelanjang.
Berpakaian sopan bukan sahaja dilihat dari sudut hukum Islam, malah ia turut diterjemahkan melalui prinsip kelima Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan – bermaksud rakyat negara ini perlu bertolak ansur, bertimbang rasa dan berkelakuan baik.
Jika diimbau kembali, sejak Pas mengambil alih kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pelbagai usaha dilakukan bagi memperkasa moral rakyat.
Pada pemerhatian penulis, inisiatif dilakukan sejak hampir lima tahun lalu menitikberatkan aspek peningkatan kesedaran terhadap pematuhan syariat Islam termasuk batasan pergaulan antara lelaki dan wanita bukan mahram.
Walaupun seseorang itu dilahirkan sebagai Islam, belum tentu dia memahami sepenuhnya ajaran dan syariat agama Islam. Untuk mengubah ‘kebiasaan’ itu lebih-lebih lagi pada zaman generasi TikTok, memerlukan pendekatan lebih berhemah.
Namun, sampai bila pendekatan ‘berhemah’ dan ‘berhikmah’ itu akan terus digunakan sekiranya tiada tindakan penguatkuasaan yang benar-benar menimbulkan ketakutan untuk manusia berbuat salah dan sewenang-wenangnya melanggar hukum ALLAH SWT.
Ia diakui Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat bahawa akan tiba masanya individu Muslim di Terengganu yang berpakaian mencolok mata berdepan tindakan.
Sebenarnya penulis sendiri tertunggu-tunggu sekiranya ada usaha daripada kerajaan untuk membendung penampilan menyakitkan mata mana-mana individu Muslim di tempat awam.
Semoga apa yang diusahakan akan membuahkan hasil dan meraih keberkatan daripada ALLAH SWT.
* Norhaspida Yatim ialah wartawan Sinar Harian Terengganu