Prestasi Amanah memberangsangkan dalam dua PRU

Iklan
Muhammad Faiz

GEORGETOWN - Prestasi Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai parti politik arus perdana di negara ini agak memberangsangkan dengan mengekalkan kedudukannya dalam kerajaan setelah dua kali menyertai pilihan raya umum.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil berkata, jumlah kerusi dimenangi Amanah pada pilihan raya lalu merosot dari 11 kepada lapan kerusi berpunca daripada gelombang sentimen Melayu Islam yang dimainkan dengan menjadikan DAP sebagai ‘punching bag’.

Iklan
Iklan

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Amanah berkata, ahli dan penyokong Amanah tidak boleh selamanya menyalahkan gelombang itu malah perlu bangkit untuk mengimbanginya.

"Apa gunanya jika dasar pejuangan Amanah adalah Islam tetapi orang Melayu Islam tidak begitu merasai agenda perjuangan ini.

Iklan

"Amanah perlu mereformasikan semula pendekatan dan strategi politiknya untuk dilihat relevan dalam mengangkat perjuangan Islam dan membela hak orang Melayu," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Khamis.

Muhammad Faiz berkata, dengan kepelbagaian masyarakat di negara ini, Amanah juga perlu membawa pendekatan yang tidak ekstrem dan konsep moderate perlu diterapkan dalam masyarakat supaya agama Islam sentiasa mulia dan dihormati.

Iklan

Tegasnya, pejuangan membentuk negara bersih daripada rasuah berdasarkan prinsip integriti dan tadbir urus baik serta menjaga kebajikan rakyat akan dilihat rakyat lebih baik daripada perjuangan agama yang ekstrem.

"Sesiapa sahaja warganegara ini telah hidup dalam keadaan aman. Orang bukan Islam dalam negara ini bukannya musuh tetapi insan sesama manusia yang berhak kepada keadilan dan ihsan.

"Jihad di Malaysia yang lebih relevan adalah jihad ekonomi, jihad pendidikan dan jihad kenegaraan yang berdasarkan kepada konsep rahmah bertunjangkan keadilan sosial, ihsan dan kasih sayang," tambahnya.

Beliau berkata, apabila Kerajaan Malaysia Madani membawa agenda rahmah hari ini dengan penerimaan baik rakyat, ia memberi maksud bahawa rakyat mahukan kesungguhan kerajaan menyelesaikan masalah mereka.

Katanya, keinginan rakyat itulah yang perlu diambil peluang oleh Amanah untuk terus kekal disokong oleh rakyat.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan wujudnya sentimen yang membawa kepada ketaksuban menidakkan kewajaran, tetapi yakin bahawa rakyat Malaysia bijak dan matang menilai kemampuan parti itu.