PUTRAJAYA - Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan membuat penjadualan semula peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022 bagi 431 calon yang terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang dijadualkan atau pusat peperiksaan berhampiran.
KPM dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan Lembaga Peperiksaan (LP) sedang mengumpulkan maklumat terperinci mengenai calon yang terlibat.
"Penjadualan semula peperiksaan akan dilaksanakan bagi calon berkenaan setelah mendapat pengesahan Pengarah Pendidikan Negeri," kata KPM.
KPM berkata, berikutan hujan lebat berterusan semalam sebanyak 17 pusat peperiksaan di Johor, Pahang dan Sarawak terjejas dengan tujuh daripada pusat peperiksaan terbabit tidak dapat dibuka disebabkan terputus hubungan dan jalan raya tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.
Di Johor dan Pahang, KPM berkata, seramai 195 calon terkesan dengan banjir, namun berjaya digerakkan ke pusat-pusat peperiksaan yang berhampiran dengan bantuan agensi kerajaan untuk menduduki peperiksaan.
Menurut KPM, pengurusan pengendalian peperiksaan SPM tahun 2022 dalam situasi banjir dilaksanakan berpandukan kepada Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan (Operasi Payung) Bil.1/2001.
"Keadaan cuaca yang tidak menentu dan hujan lebat berterusan telah menjejaskan kelancaran pengurusan pengendalian peperiksaan SPM tahun 2022.
"KPM sentiasa cakna dengan situasi semasa dan siap siaga dengan prosedur operasi standard dan langkah persediaan yang sewajarnya bagi memastikan peperiksaan SPM tahun 2022 dapat diteruskan dengan lancar dan teratur," katanya.
Setakat pagi Khamis, sebanyak 27,467 mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara di lima negeri terkesan banjir iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Melaka.
KPM menasihatkan calon peperiksaan SPM tahun 2022 agar memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran.
"Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan banjir yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara," katanya. - Bernama