SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memaklumkan telah menghantar surat permohonan bagi menyertai Perikatan Nasional (PN) sebagai anggotanya.
Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, surat berkenaan diutuskan kepada Pengerusi (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin selain salinan turut diserahkan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.
"Semalam saya telah mengutuskan sepucuk surat kepada Pengerusi PN untuk memohon agar parti Pejuang diterima sebagai anggota parti komponen.
"Keputusan ini disepakati oleh Majlis Eksekutif Pejuang (MEP) dua hari lepas setelah penelitian dan penilaian khusus semua opsyen gabungan atau kerjasama politik yang ada. Ia bersesuaian dengan mandat yang kami peroleh daripada Perhimpunan Agung Pejuang kali ke-2,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada Disember lalu, Tun Dr Mahathir mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Pejuang tetapi kekal sebagai Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA).
Ia disusuli dengan tindakan keluar parti pada Februari tahun ini bersama 12 lagi ahli lain disebabkan oleh keputusan Pejuang memutuskan hubungan dengan GTA.
Perkara itu disahkan oleh sumber parti itu, bagaimanapun Dr Mahathir dikatakan akan kekal sebagai Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA).
Menurut Mukhriz, keputusan MEP itu merupakan hasil daripada pertimbangan seperti tidak memadai kerjasama berbentuk pakatan pilihan raya diwujudkan hanya untuk mengelakkan daripada pertindihan kerusi yang ditandingi lebih-lebih lagi jika lambang berasingan digunakan oleh kedua-dua pihak berpakat.
"Lebih menguntungkan semua pihak jika Pejuang menyertai PN dan bertanding menggunakan lambang PN.
"Ini bermakna kesepakatan Pejuang dengan PN tidak terhad hanya kepada PRN yang bakal berlangsung pada Jun 2023 tetapi untuk jangka masa panjang,” ujar beliau.
Tambahnya lagi, penyertaan Pejuang sebagai anggota komponen PN adalah untuk memastikan tidak ada perpecahan undi Melayu pada pilihan raya yang mendatang.
"Diharapkan kepimpinan PN akan mempertimbangkan permohonan Pejuang dan memberikan respons positif,” katanya.