BINTANG Argentina, Lionel Messi melakukan kelainan apabila menghadiahkan 35 unit iPhone emas buat staf dan para pemain skuad negara itu yang memenangi Piala Dunia Qatar 2022.
Gajet pintar 24 karat itu dianggarkan bernilai 175,000 pound (RM940,052) dan ia dihantar ke kediaman miliknya di Paris pada Sabtu.
Lebih menarik setiap telefon bimbit itu dilakar dengan nama pemain, nombor jersi serta logo Argentina.
Menurut satu sumber, kapten Argentina itu mahu membuat sesuatu yang istimewa bagi meraikan detik yang membanggakan tersebut.
Katanya, dia menghubungi usahawan Ben Lyons iaitu Ketua Pegawai Eksekutif iDesign Gold dan bersama-sama membuat rekaan tersebut.
Beliau menambah, Messi mahu memberikan sesuatu yang istimewa untuk semua pemain dan staf bagi meraikan kejayaan menakjubkan itu tetapi ia bukan hadiah jam.
"Jadi saya syorkan iPhone emas yang diukir nama pemain. Dia suka dengan idea itu,” ujar Lyons.
Argentina menjulang Piala Dunia di Doha tahun lalu dengan Messi turut dinobatkan sebagai pemain terbaik kejohanan.