Subsidi petrol bersasar bergantung kepada data terkini BSH

Iklan
Saifuddin Nasution pada Program Dialog Bersama Media di kementeriannya, hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Pelaksanaan subsidi petrol bersasar akan bergantung kepada secepat mana Sekretariat Bantuan Sara Hidup (BSH) dapat mengemukakan data bersih terkini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

"Mereka (Sekretariat BSH) sekarang dalam proses melakukan pembersihan. Difahamkan mereka kini dalam fasa akhir,” katanya pada Program Dialog Bersama Media di sini hari ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mahukan data yang kredibel iaitu memastikan penerima yang layak dimasukkan dalam senarai, manakala yang tidak layak pula dikeluarkan.

"Jika pelaksanaan subsidi bersasar itu berjaya, KPDNKK berhasrat untuk melanjutkan kaedah itu kepada barangan pengguna lain seperti minyak masak, tepung dan gas petroleum cecair. Dengan cara itu penjimatan dapat dicapai melalui kecekapan pelaksanaan bersasar,” katanya.

Iklan

Menurut Saifuddin, pangkalan data BSH yang mengenal pasti kumpulan B40 yang layak menerima subsidi mendapati 90 peratus sahaja dari kalangan mereka mempunyai akaun bank manakala 10 peratus lagi tidak mempunyai akaun khususnya di kawasan luar bandar.

Beliau berkata pihaknya sedang berunding dengan beberapa bank yang mempunyai cawangan meluas di seluruh negara bagi membantu mereka membuka akaun.

Iklan

Ketika ini terdapat 4.1 juta penerima BSH. - Bernama