GEG bakal beri kesan kepada ekonomi negara

Iklan
Pankaj Kumar

KUALA LUMPUR - Sebuah badan pemikir tempatan percaya bahawa Dasar Penamat Generasi atau Generational Endgame (GEG) akan memberi kesan yang lebih luas kepada ekonomi negara.

Pengarah Urusan Datametrics Research and Information Centre (DARE), Pankaj Kumar berkata, dasar larangan ketat sedemikian akan memberi impak negatif yang lebih besar ke atas keseluruhan ekosistem ekonomi termasuklah mengakibatkan kehilangan pekerjaan, penutupan perniagaan dan menghalang pelaburan masa depan.

Iklan
Iklan

"Perniagaan sama ada pengilang, pengimport, pengedar atau peruncit akan terjejas dalam jangka masa panjang. Banyak perniagaan sah akan ditutup secara beransur-ansur dan kesannya akan meningkatkan kadar pengangguran.

"Pelabur antarabangsa dan domestik akan terjejas kerana Malaysia akan dilihat sebagai negara yang menyekat pelaburan kerana langkah ini menetapkan precedent yang berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Iklan

Menurut beliau, situasi itu bakal mewujudkan lebih banyak kerumitan dalam sektor runcit dan kos pematuhan yang tidak perlu.

"Penguatkuasaan akan menjadi sangat mencabar dan produk yang menyalahi undang-undang akan berkembang serta menjadikan pengenalan dasar GEG tidak mencapai matlamatnya.

Iklan

"Ini juga akan menyebabkan hasil yang lebih rendah dan menyebabkan ketirisan,” jelasnya.

Tambahnya, industri vape bernilai RM2.49 bilion melibatkan beribu-ribu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan usahawan tempatan dengan lebih 30,000 pekerja langsung dan tidak langsung juga akan terjejas disebabkan langkah GEG.

"Industri vape tempatan telah berkembang dari 2019 hingga 2022 seiring dengan trend global di mana semakin ramai perokok beralih kepada produk vape.

"Industri vape telah pun mempunyai ekosistem yang mantap dengan pelbagai pemain industri dan beribu-ribu pekerja. Ini adalah fakta yang tidak boleh dielakkan atau dinafikan,” katanya.

Pankaj menambah, dengan perkembangan ekonomi semasa dan paras hutang negara menghampiri RM1.5 trilion, kerajaan mesti memberi tumpuan untuk meningkatkan jumlah pemain industri dalam menambah hasil serta menarik pelaburan dan bukannya melaksanakan dasar seperti GEG.

"Kerajaan juga perlu bertindak cepat untuk mengawal selia dan mengenakan cukai kepada industri vape dengan meminda undang-undang semasa, bukannya membentangkan rang undang-undang baharu yang akan mengambil masa untuk melalui proses perundangannya,” katanya.