2,000 mangsa banjir bergelap, PPS terputus bekalan elektrik

Iklan
Mangsa banjir di PPS SMK Seri Bali di Chaah bergelap akibat terputus bekalan elektrik pada Rabu.

SEGAMAT - Kira-kira 2,000 mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bali di Chaah dekat sini terpaksa bergelap akibat terputus bekalan elektrik pada Rabu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, Ling Tian Soon berkata, keadaan itu menyebabkan mangsa banjir terpaksa menggunakan lilin dan ada antaranya berkumpul di kawasan lebih terang di kantin sekolah tersebut.

Iklan
Iklan

Tian Soon yang juga Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri berkata, PPS berkenaan juga mengalami masalah bekalan makanan akibat terputus hubungan susulan daerah ini paling terjejas teruk akibat banjir.

"Banjir kali ini penuh dengan kejutan. Semalam selepas melawat beberapa PPS di Yong Peng saya bergegas ke Chaah. Ramai kawan-kawan dan ketua masyarakat menghubungi saya untuk minta bantuan kerana jalan utama terputus.

Iklan

"Dalam tempoh sejam, kami berjaya kumpulkan enam pacuan empat roda untuk membawa bekalan makanan antaranya roti dan biskut," katanya.

Bagaimanapun katanya, perjalanan ke PPS berkenaan amat mencabar kerana jalan di Batu 3, Labis sudah ditutup.

Iklan

"Ketika sampai keadaan sangat gelap dan kami dimaklumkan tiada bekalan elektrik. Mereka kekurangan makanan dan minuman. Mereka hanya menggunakan lilin sebagai lampu dan duduk di satu kawasan," katanya.

Kata beliau, pihaknya dimaklumkan bekalan eletrik dipulihkan semula pada jam 2 pagi Khamis.