KLANG - Masjid perlu ditadbir dengan lebih profesional dan sistematik agar berupaya menjadi pusat aktiviti masyarakat setempat, sumber ilmu, pembangunan sumber ekonomi dan platform penyatuan serta perpaduan ummah.
Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sebagai ketua agama Islam di Selangor, baginda amat mengambil berat kepentingan perpaduan dan persaudaraan umat Islam.
Titahnya, masjid perlu dijadikan asas dan medium untuk masyarakat Islam untuk bersepakat tanpa mengira perbezaan pangkat, kedudukan, perbezaan pandangan dan fahaman politik masing-masing.
"Beta amat tidak berkenan masjid dijadikan medan politik dan propaganda politik kepartian. Masjid hendaklah bebas dari sebarang pengaruh dan elemen politik kepartian.
"Masjid tidak seharusnya menjadi tempat membina jurang pemisah atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam politik," titah baginda pada Majlis Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan Nazir dan Imam Masjid-Masjid Negeri Selangor di Istana Alam Shah pada Khamis.
Seramai 386 nazir dan 870 imam dari 435 masjid di Selangor menerima watikah pelantikan bagi sesi 2023-2025 selepas melepasi temuduga dan tapisan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Baginda bertitah, kuliah-kuliah agama yang dijalankan di masjid tidak sepatutnya dijadikan sebagai platform untuk menghina, mengumpat, memfitnah dan mencaci mana-mana pihak.
"Menyedari kesan negatif kepada perpaduan umat Islam khususnya di negeri Selangor ini, Bl beta telah menitahkan Pengerusi MAIS dan Pengarah JAIS agar tidak membenarkan orang-orang politik untuk menjadikan masjid dan surau sebagai pentas ceramah politik," titah baginda.
Titahnya, program memakmurkan masjid seperti kuliah, ceramah dan tazkirah hanya boleh disampaikan oleh mereka yang mempunyai tauliah yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tauliah MAIS.
"Malah penceramah-penceramah luar negara pun hanya diberi kebenaran untuk menyampaikan kuliah, ceramah dan tazkirah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (Masjid Negeri) Shah Alam, Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Masjid Diraja Sultan Sulaiman Klang dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya sahaja.
"Dalam hal ini beta menitahkan para nazir untuk memperuntukkan sebahagian dari kewangan masjid untuk menyediakan kelengkapan teknologi maklumat (ICT) yang boleh merekod dan memantau semua aktiviti ceramah.
"Kelengkapan ICT ini, akan turut memberi manfaat kepada pihak masjid dan ahli kariah kerana setiap perjalanan ceramah boleh dibuat secara live atau atas talian yang boleh dikongsi oleh mereka yang tidak hadir dan yang lebih penting mudah untuk dipantau dan dirujuk semula apabila diperlukan," titahnya.
Baginda turut menasihatkan semua nazir dan imam masjid agar dapat mentadbir masjid dengan cekap, efisien, telus dan profesional.
"Sebarang keputusan yang diambil oleh nazir serta jawatankuasa hendaklah mengikut undang-undang dan peraturan serta titah beta.
"Kegagalan mematuhi segala peraturan dan titah beta membolehkan tindakan penguatkuasaan undang-undang dikenakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.
"Beta sekali lagi mengharap dan menasihatkan agar para pegawai masjid khususnya nazir dan imam agar terus memelihara kemuliaan institusi masjid dari dicemari oleh elemen yang boleh merosakkan akidah, perpaduan dan kesatuan ummah.
"Jadikan masjid tempat yang paling dihormati dan asas membina kesatuan umat Islam sepertimana dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika di Masjid Quba. Carilah semua titik penyatuan dan bukan titik perpecahan. Beri keutamaan kepada perkara asas dan bukan perkara yang remeh," titah baginda.