PESERTA Pencetus Ummah (PU) 2015, Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi, 25, atau PU Abu hari ini membuat permohonan maaf menerusi Instagram atas tindakan menceraikan isterinya, Ain Afini yang sedang sarat mengandung untuk berkahwin dengan seorang janda.
Dalam hantaran yang dimuat naik itu, Abu turut memohon maaf daripada keluarga mentuanya.
"Saya, PU Abu @ Muhammad Abu Sufyan bin Mohd Mokhtar Rozaidi memohon maaf di atas kesalahan saya menceraikan isteri saya ketika mengandung dan saya amat menyesal atas keterlanjuran yang saya lakukan.
ARTIKEL BERKAITAN: PU pilih janda, cerai isteri sedang hamil
"Saya meminta maaf kepada bekas isteri saya @ainafini dan keluarga kerana berlaku sikap tidak adil terhadap mereka," tulisnya.
Abu juga berharap supaya dirinya menerima balasan setimpal di atas perbuatannya itu.
"Moga saya mendapat balasan yang setimpal dengan apa yang saya lakukan.
"Saya harap netizen berhenti mengecam pihak yang tidak terbabit secara langsung atau pun tidak langsung. Saya akan berbincang dengan pihak bekas isteri saya untuk hal yang selanjutnya. Doakan semuanya dipermudahkan dan dapat diselesaikan dengan cara baik," tulisnya lagi.
Bagaimanapun, Abu bertindak memadam hantaran berkenaan beberapa jam selepas ia dimuat naik.
Terdahulu, dalam perkongsian menerusi Instagram Ain yang kini hamil tujuh bulan, talak itu dilafazkan Abu menerusi WhatsApp pada 13 Mac lalu kerana Ain tidak bersetuju dengan permintaan Abu untuk berpoligami.