Pemilihan UMNO: Kemenangan terbatal jika calon terlibat rasuah

Iklan
Mustapha

KUALA TERENGGANU - Mana-mana calon yang bertanding dalam pemilihan UMNO bagi penggal 2023-2026 akan digugurkan atau kemenangannya terbatal sekiranya terdapat aduan dan bukti kukuh terlibat dalam rasuah.

Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU), Datuk Mustapha Yaakub berkata, keputusan mengenai salah laku itu akan diputuskan oleh Lembaga Disiplin parti sekiranya terdapat calon yang melanggar peraturan ditetapkan.

Iklan
Iklan

"Jika ada aduan, cukup bukti, cukup lengkap dengan gambarnya sekali dan aduan itu dihantar kepada JPU, maka JPU akan menyerahkan kepada Lembaga Disiplin UMNO untuk membuat keputusan.

"Selalunya kalau menang (dengan cara) sebegini, kemenangan itu akan diisytiharkan sebagai batal. Jika berlaku unsur rasuah sebelum pemilihan dibuat, Lembaga Disiplin siasat dan sekiranya terbukti betul, maka dia (calon) akan ditahan dan hilang kelayakan dia untuk bertanding," katanya.

Iklan

Mustapha ditemui pemberita selepas menghadiri taklimat khas JPU Terengganu di Bangunan Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu di sini pada Rabu.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, semua calon diminta untuk tidak terlibat dengan unsur-unsur atau sebarang bentuk tindakan yang diklasifikasikan sebagai rasuah untuk meraih undi dalam pemilihan itu.

Iklan

Namun, katanya, mereka dibenarkan menggunakan media sosial masing-masing untuk tujuan berkempen.

"JPU ada di mana-mana sahaja. Jangan sehingga ada orang membuat laporan. Bila ada laporan kita siasat, bila ada bukti, tindakan akan diambil.

"Jadi tolong elak daripada melakukan perkara-perkara yang telah ditentukan oleh tata etika ahli dalam kempen dan apa-apa yang telah ditetapkan oleh JPU bagi memastikan kempen ini berjalan dengan baik," katanya.

Menurut Mustapha, setakat ini tiada tempoh khusus yang ditetapkan bagi membolehkan laporan diterima atau ditolak sekiranya terdapat kesalahan dikesan.

"Setakat ini, tiada satu tempoh khusus berapa lama, tertakluk kepada kesediaan lembaga disiplin untuk mengadakan keputusan mesyuarat dan juga keputusan untuk tindakan diambil secepat mungkin.

"Sekiranya terbukti salah laku itu dilakukan dan dia (calon) menang, maka Lembaga Disiplin akan memutuskan mengikut budi bicara lembaga disiplin berdasarkan laporan tersebut," ujarnya.

Bahang pemilihan UMNO kali ini semakin dirasai apabila proses cabutan nombor undi bagi calon-calon yang akan bertanding bagi pemilihan peringkat pusat dijadualkan bermula pada Khamis.