ISKANDAR PUTERI - Inisiatif 'wakil rakyat untuk rakyat' merupakan buah fikiran pertama ADUN Bukit Permai, Tosrin Jarvanthi selepas dilantik sebagai Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri.
Menurutnya, program berteraskan capaian hubungan tanpa had antara kerajaan negeri dan masyarakat itu akan dimulakan dengan agensi dan pihak berwajib di bawah portfolionya.
"Saya akan mulakan dengan inisiatif ini, objektifnya kita mahu kerajaan menjadi lebih mesra dan bukan rakyat yang datang kepada wakil rakyat. Biar kita turun ke bawah.
"Sebagai contoh, kita akan buat mana-mana pejabat terbuka di kawasan awam, pasar lambak misalnya. Jadi di sana kita sendiri yang akan bertemu masyarakat untuk memudahkan urusan dan fahami apa yang mereka jalani," katanya ketika ditemui pemberita sejurus sidang media pembahagian portfolio kepada Exco Kerajaan Johor baharu di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Ditanya mengenai persediaannya untuk menjalankan tugas berat Exco Johor, beliau memaklumkan ia bukanlah perkara yang besar dan masih boleh bekerja.
Bekas ADUN Sedili bagi parti UMNO bagi penggal PRU7 (1986) itu turut memaklumkan, pengalamannya dalam politik tanah air juga diyakini boleh membantunya untuk memberi sumbangan dalam tampuk pentadbiran kerajaan negeri.
"Insya-ALLAH saya bersedia, sekarang ini pun pegawai muda saya sendiri masih tidak dapat nak ikut bagaimana laju saya bekerja," katanya.
Terdahulu, Tosrin diumumkan sebagai Exco Kerajaan Johor yang baharu bagi mengantikan tiga slot daripada kerusi Bersatu selepas pengudurun Datuk Osman Sapian yang diganti Datuk Sahruddin Jamal sebagai Menteri Besar Johor dan ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang digugurkan.