KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) tidak akan mengekang kebebasan pengamal media di negara ini untuk melaporkan berita.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, bagaimanapun kebebasan itu seharusnya dimanfaatkan berlandaskan kepada syarat lesen dan undang-undang negara ini.
Beliau berkata, perkara itu penting untuk dipatuhi semua pengamal media bagi mengelakkan penyebaran fitnah dan juga maklumat tidak sahih.
"Peringatan kepada semua pengamal media juga orang awam, kita (KKD) tidak kekang atau halang hak media untuk membuat sebarang laporan, hak media untuk menulis.
"Tapi kekangannya pertama ialah dari segi syarat yang terkandung di dalam lesen dan kedua adalah undang-undang sedia ada di negara ini yang perlu dipatuhi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan drama bersiri 26 episod bertajuk Cyber999 bagi siaran RTM di Angkasapuri hari ini.
Media baru-baru ini melaporkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka kertas siasatan terhadap stesen televisyen Awesome TV kerana kegagalan mematuhi peraturan lesen susulan satu laporan berita yang disifatkan sebagai tidak benar.Sementara itu, mengulas mengenai situasi banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini, Fahmi berkata, beliau telah mengarahkan SKMM supaya memastikan capaian Internet yang baik di setiap pusat pemindahan sementara (PPS).
Beliau berkata, pemantauan rapi juga dibuat bagi mengenal pasti mana-mana menara telekomunikasi yang terkesan akibat banjir untuk segera dibaik pulih.
"Kita perlu teliti dan segera kerana isu yang kita lihat ialah tempat yang mungkin sebelum ini tidak berlaku banjir tetapi kali ini dinaiki air,” katanya.
Setakat pagi ini dilaporkan seramai 27,467 mangsa banjir ditempatkan di PPS di lima negeri iaitu Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Melaka. - Bernama.