PETALING JAYA - Sebahagian daripada 29 individu warga Indonesia menangis di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis selepas dihukum penjara tiga bulan kerana memiliki kad pengenalan palsu minggu lalu.
Seramai 27 tertuduh yang dihukum penjara ialah Slamet Riyanti Kasirin, 22, Sumianti Lahadi, 43; Beretia Badulu, 54; Riski Lasada, 48; Nurlia Haeruddin, 35; Anugerah Syaripuddin, 31; Dawi Sadida, 46; Husna Lino, 53; Roslia Borak, 55; Andi Nur Aishah Akbar, 26; Putri Mawarni, 38 dan Dedi Saputra Ismail, 29.
Senarai itu termasuk Paridah Parangai, 47; Herianti M Arif, 29; Hadi Badrosa, 48; Karyawati Langka, 45; Nurhaidah Iwan, 21; Hernawati Cagga, 36; Hitrana Ghafar, 44; Enceng Sateng, 50; Ratna Dewi Uti, 42; Rohana Baso, 50; Ainol Mardiah Amirudin, 49; Ani M Tahir, 43; Hadilah Kacok, Nor Ahmad Ali dan Ita Lappa.
Mahkamah memerintahkan mereka dipenjara bermula tarikh ditangkap iaitu 27 Februari lalu.
Dua lagi tertuduh iaitu Kasmira Pirman, 26, didenda RM3,000 atau penjara tiga bulan sementara Suriati Abu Tahir, 70, (RM2,000) atau dua bulan jel.
Kesemua tertuduh dikenakan hukuman berkenaan di Mahkamah Majistret berasingan di sini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol, Shahril Anuar Ahmad Mustapa dan Zhafran Rahim Hamzah.
Mengikut pertuduhan, mereka yang merupakan pekerja kilang didakwa tanpa kuasa yang sah, memiliki kad pengenalan palsu sebagai pengenalan diri Taman Perindustrian Puchong, Seksyen 6 di sini, pada jam 10.30 pagi, 27 Februari lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda maksimum RM20 000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara, Norfadilah Shaari dan Zulkarnain Ahmad.
Semasa prosiding, Norfadilah berkata, isu memiliki kad pengenalan orang lain merupakan kes yang serius selain memberi implikasi buruk kepada pemilik sebenar.
"Saya mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran,” katanya.
Bagaimanapun, tertuduh, Ani, merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana perlu menanggung tujuh anak.
"Ampuniku ya tuan, aku janji tak guna IC palsu lagi, anak-anak saya semua di Indonesia,” katanya.
Pada Selasa lalu, seramai 29 warga asing ditangkap menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain dalam satu serbuan di Puchong, Selangor.