SHAH ALAM - Syarikat pengendali umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) menafikan laporan sebuah portal berita bahawa jemaah kendaliannya mempunyai kaitan dengan penipuan pakej umrah yang melibatkan kerugian sehingga RM95,000.
Andalusia menerusi satu kenyataan memaklumkan, pihaknya bakal mengambil tindakan undang-undang dengan mengemukakan saman fitnah kepada portal berita berkenaan kerana menggunakan gambar jemaah Andalusia pada artikel berkait penipuan pakej umrah terbabit.
Iklan
Iklan
Menurut kenyataan itu, tindakan portal berita tersebut menimbulkan keresahan dalam kalangan jemaah Andalusia dan orang ramai serta menjatuhkan reputasi dan nama baik perniagaan syarikat berkenaan.
''Andalusia membantah sekeras-kerasnya penggunaan tanpa izin gambar jemaah Andalusia yang berehat sambil menunggu penerbangan berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) menerusi artikel mereka yang disiarkan dalam platform media sosial Instagram, Facebook dan laman web pada 2 Mac 2023.
"Ia menimbulkan keresahan ke atas jemaah dalam gambar dipaparkan serta bakal jemaah Andalusia lain yang masih menunggu tarikh penerbangan masing-masing," katanya menerusi kenyataan di Facebook rasmi pada Khamis.
Berikutan itu, Andalusia meminta portal berkenaan menarik balik penyiaran gambar secara tidak bertanggungjawab itu dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihaknya.
Tegasnya, permohonan maaf itu wajib disiarkan dalam setiap platform publikasi berkaitan berserta penjelasan bahawa kandungan publikasi tersebut adalah langsung tiada kaitan dengan Andalusia.