Kata Bront, 44, ia sebagai persediaan sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini ketika di set penggambaran.
Malah jelasnya, setiap daripada mereka sudah berdepan banyak pengalaman dan seharusnya lebih arif mengenai hal itu kerana pekerjaan mereka amat berisiko tinggi.
"Kita (penggiat seni) ini bekerja untuk keluarga. Lagipun skim perlindungan boleh memberi manfaat daripada segi pampasan kepada keluarga jika berlaku insiden tidak diingini.
"Sekurangnya-kurangnya pempasan itu dapat menampung perbelanjaan keluarga dalam tempoh beberapa bulan sementara kita nak pulih daripada kecederaan,” katanya kepada Gempak.
Bront berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Festival Filem Malaysia Antarabangsa ke-6 (MIFFest) di ibu kota, pada Khamis.
Sementara itu, aktor tersebut turut mengingatkan kepada penerbit dan rumah produksi untuk tidak mengambil mudah mengenai pengambilan insurans.
"Secara normal, standard praktis memang ada insurans perlindungan dalam industri lakonan. Sebagai orang filem, itu bukan isu tetapi bila tiada insurans, ia akan jadi isu.
"Tapi saya faham tak semua penerbit cakna mengenai kepentingan mengambil insurans perlindungan untuk pelakon mereka.
"Ini berkemungkinan sesetengah pihak produksi ambil mudah daripada segi menyediakan insurans perlindungan kepada mereka yang terbabit di bawah produksi mereka.
"Insiden sebegini sudah banyak kali terjadi namun masih ada sesetengah pihak produksi tidak mengambil iktibar," tambahnya.
Bront berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden yang berlaku terhadap aktres Fasha Sandha yang mengalami kecederaan di bahagian mata ketika menjalani penggambaran sebuah drama baru-baru ini. - Awani.