Adib kritikal namun stabil

Iklan
x-default

SHAH ALAM - Keadaan Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang cedera parah akibat diserang dalam insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya pada 27 November lepas masih kritikal walaupun stabil.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Muhammad Hamdan Wahid berkata, ini kerana masih ada mesin-mesin tertentu sedang diguna pakai ke atas anggota berkenaan bertujuan menstabilkan organ dalam badannya.

Iklan
Iklan

"Walaupun kita panggil Muhammad Adib stabil tapi beliau masih kritikal. Difahamkan, ia (rawatan pakar dan penggunaan mesin) akan mengambil tempoh masa tertentu.

"Sehingga kini, beliau masih tidak boleh dilawat cuma mungkin satu atau dua hari ini, doktor pakar akan membuat rumusan mengenainya (penerimaan pelawat). Semangatnya kuat dan kita harap akan dapat petanda positif,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara JBPM dan Universiti Teknologi Mara di sini, hari ini.

Iklan

Beliau berkata perkembangan terkini Muhammad Adib yang sudah boleh menulis untuk berkomunikasi merupakan isyarat positif mengenai peningkatan kesihatannya dan diharapkan anggota berkenaan juga akan mampu menceritakan keadaan sebenar yang menimpanya semasa insiden tersebut.

Sementara itu, mengulas mengenai kesiapsiagaan JBPM menghadapi musim banjir, Muhammad Hamdan berkata semua pusat gerakan operasi jabatan itu di seluruh negara dikoordinasikan dengan ibu pejabat supaya laporan mengenai situasi semasa kawasan masing-masing sentiasa diterima untuk tindakan lanjut.

Iklan

Tambah beliau, selain persediaan logistik bagi membantu masyarakat menghadapi bencana tersebut, cuti tahunan ke atas 10,000 anggota JBPM di seluruh negara juga dibekukan sejak bulan lepas.

"Disebabkan banjir merupakan kejadian tahunan, kita gunakan Arahan Majlis Keselamatan Negara 20 (MKN20) sebagai mekanisme untuk mengatur gerak kerja dengan bantuan daripada agensi lain bagi menghadapi bencana tersebut kali ini.

"Mulai sekarang hingga Februari depan, kita nasihatkan orang ramai tidak pergi ke tempat-tempat rekreasi berisiko tinggi seperti memanjat gunung, mandi-manda di air terjun, berada di pesisir pantai atau sungai mahupun tali air bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai sebarang penambahbaikan ke atas jabatan itu tahun depan, Muhammad Hamdan berkata antara aspek yang akan diberi keutamaan adalah pembangunan modal insan secara intensif iaitu melibatkan pelbagai bentuk latihan, pembelajaran serta proses mendekati komuniti.

Selain itu katanya, prosedur operasi standard (SOP) JBPM juga akan dikaji dari semasa ke semasa sebagai persediaan untuk menghadapi corak insiden masa kini yang dilihat banyak berubah berbanding zaman dahulu.

"Kerjasama erat dengan pelbagai agensi lain juga akan dipertingkatkan pada masa hadapan supaya aspek pengurusan bencana dapat diatur dengan baik demi memastikan keselamatan rakyat sentiasa berada pada tahap yang baik,” katanya. - Bernama