Pelajar kolej maut, kereta terbabas langgar tiang lampu

Iklan
Keadaan kenderaan dipandu mangsa yang terbabas dan melanggar tiang lampu dan tiang papan tanda di Jalan Sultan Mahmud, awal pagi Khamis. Gambar kecil: Ahmad Amirul Amzar

KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar kolej maut selepas kereta yang dipandu terbabas lalu melanggar dua tiang lampu dan tiang papan tanda dalam kejadian di Jalan Sultan Mahmud di sini, awal pagi Khamis.

Kejadian berlaku di kawasan pembahagi jalan itu menyebabkan mangsa, Ahmad Amirul Amzar Ahmad, 20, meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan jam 2.11 pagi sebelum mengerahkan sepasukan anggota ke lokasi kejadian.

Jelas beliau, sebaik tiba di lokasi tersebut, seorang pemandu didapati tersepit dalam sebuah kereta jenis Proton Persona dan dipercayai telah meninggal dunia.

Anggota penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu.

Iklan

"Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu dengan menggunakan peralatan memotong ‘rescue toll’.

"Sebaik dikeluarkan, mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang bertugas dan mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Iklan

Difahamkan, Ahmad Amirul Amzar dari Kampung Bukit Besar di sini, merupakan pelajar semester empat Diploma Pengurusan Sumber Manusia Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Kuantan.