USAHA Johor Darul Ta’zim (JDT) mendapatkan khidmat penyerang Colombia, Radamel Falcao dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) disifatkan petanda positif kepada industri bola sepak negara.
Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah berkata, pemain berusia 37 tahun itu yang kini menyarung jersi kelab Sepanyol, Rayo Vallecano merupakan satu usaha ‘nilai tambah’ yang tepat.
Malah, Effendi percaya hasrat untuk mendapatkan khidmat Falcao mampu direalisasikan berdasarkan status Harimau Selatan sebagai juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, selain beraksi di pentas Liga Juara-Juara Asia.
"Bagi saya, seandainya JDT merekrut Falcao, ia merupakan pelaburan jangka panjang yang tepat untuk kelab tersebut. Ia juga satu pembelian yang bagus kerana memiliki nama besar, bagus untuk penjenamaan pasukan pada masa depan.
"Saya percaya Falcao tidak berdepan masalah menyesuaikan diri dengan persekitaran kondusif JDT yang merupakan sebuah kelab bola sepak profesional terbaik negara.
"Kehadiran Falcao sebenarnya bukan biasa-biasa, sebaliknya akan menjadi tarikan dan sumber inspirasi kepada pemain JDT,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Effendi juga menyifatkan perpindahan Falcao yang pernah mewakili kelab River Plate (Argentina), Porto (Portugal) Atlético Madrid (Sepanyol), Monaco (Perancis), Manchester United (England), Chelsea (England) dan Galatasaray (Turkiye) mampu menaikkan imej serta nilai Liga-M.
Menurutnya, kelab Liga-M seharusnya menandatangani pemain-pemain memiliki nama besar di penghujung karier yang masih berminat beraksi di Malaysia dengan harga mampu milik kelab sekiranya mahu berdaya saing dalam era bola sepak moden.
"Usaha-usaha yang dilakukan JDT ini seharusnya menjadi contoh kepada kelab Liga-M lain yang secara tidak langsung akan menaikkan imej liga.
"Ya, sememangnya kelab Liga-M perlu melakukan marquee signing supaya saingan liga kita akan lebih dihormati dan menjadi tarikan kepada pemain luar yang berkaliber serta mempunyai nama,” jelasnya.