Sarjan mati ditembak: PDRM dalam tindakan mohon inkues

Iklan
Acryl Sani (Gambar kecil: Laporan Sinar Harian).

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat permohonan inkues berhubung kes anggota polis berpangkat Sarjan yang ditemui maut dengan tiga kesan tembakan di Balai Polis Bayan Lepas, Pulau Pinang pada 19 Februari lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, pihaknya sedang menyediakan dokumen berkaitan kes itu untuk permohonan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Insiden itu sangat mendukacitakan, daripada sudut siasatan kita ambil maklum bahawa kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya ketika sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 di sini pada Jumaat.

Acryl Sani berkata, polis Pulau Pinang sudah melengkapkan siasatan dan menerima laporan patologi serta hasil bedah siasat.

Iklan

"Kini mereka sedang menyediakan dokumen sepatutnya untuk buat (mohon) inkues berhubung insiden itu bagi mengenal pasti apa punca kematian,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya dimaklumkan anggota berkenaan pernah menghadapi masalah keluarga.

Iklan

"Namun, atas sebab dan perkara yang tidak dapat dielakkan, insiden ini berlaku. Kita pun tidak tahu kenapa dia bertindak sedemikian," katanya.

Beliau berkata, dari segi prosedur operasi standard (SOP) pengendalian senjata, perkara itu sudah termaktub sekian lama dan dipatuhi sewajarnya.

"Apa yang berlaku ini tentu sekali adalah perkara di luar kawalan, namun akan menambah baik SOP berkenaan bagi memastikan perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Mengulas mengenai tahap kesihatan mental anggota polis secara keseluruhan, Acryl Sani berkata, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) mempunyai satu unit kaunseling yang akan memantau serta meneliti perkara itu.

"JIPS mempunyai satu unit kaunseling yang akan memantau dan meneliti tahap kesihatan mental setiap pegawai serta anggota melalui laporan penyelia mereka,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan polis mengesahkan kematian anggota polis berpangkat sarjan itu sebagai SDR.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain dipetik berkata, siasatan mengenai kejadian itu sudah selesai dan tiada unsur jenayah.

Katanya, siasatan kes itu sudah selesai dengan kesan bedah siasat serta lawatan ahli patalogi ke lokasi kejadian konsisten dengan dapatan pertama bahawa ia adalah tindakan bunuh diri.

Mendiang Sarjan Jana Milie, 51, yang ditemukan meninggal dunia di belakang balai berkenaan dengan kesan tembakan pada dada, leher dan kepala.

Dalam kejadian jam 3.30 petang itu, sepucuk pistol turut ditemukan bersama mangsa.