TAIPING - Bekas pegawai bank didenda RM8,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Taiping pada Jumaat atas pertuduhan menipu majikannya dengan meluluskan kad kredit pelanggan untuk kegunaan sendiri, tahun lalu.
Tertuduh, Leong Yew Hong, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Atiqah Sapari.
Tertuduh turut diperintahkan dipenjara lapan bulan jika gagal menjelaskan denda berkenaan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai pegawai pemasaran eksekutif bertanggungjawab menguruskan permohonan dan kelulusan kad kredit milik seorang individu.
Lelaki itu telah menipu pihak bank dengan meluluskan kad kredit individu berkenaan yang mana kepentingannya dalam urusan tersebut perlu dilindungi suatu kontrak di sisi undang-undang pada 27 November 2022.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Siasatan lanjut yang dijalankan pengurus siasatan bank mendapati tertuduh mempunyai 17 kad kredit milik pelanggan lain setelah mendapatkan maklumat pelanggan sewaktu mengadakan promosi di sekitar Taiping.
Tertuduh melakukan permohonan dengan menggunakan kad pengenalan serta mencetak maklumat kad pengenalan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.
Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Puteri Hikmatul Raudah Dzulaika Mohamad memohon hukuman ringan dikenakan dengan mengambil kira pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.
Peguam juga berhujah bahawa tertuduh kesal dengan perbuatan itu dan berjanji tidak mengulangi kesalahan pada masa depan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan sebagai pengajaran kerana tertuduh menggunakan posisinya bagi mendapatkan butiran hingga menyebabkan kerugian kepada pengadu.
Media pada Selasa lalu melaporkan polis menahan seorang pegawai bank selepas disyaki menggunakan maklumat pelanggan untuk membuat permohonan kad kredit bagi kegunaan sendiri yang mengakibatkan kerugian sebanyak RM563,422.