Sindiket penipuan: Semua agensi berhak ambil tindakan - KPN

Iklan
Acryl Sani

KUALA LUMPUR - Semua agensi penguat kuasa berhak mengambil tindakan undang-undang berdasarkan bidang kuasa masing-masing, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Jabatan Imigresen Malaysia membanteras kegiatan sindiket penipuan dalam talian pada minggu lalu.

Iklan
Iklan

"Kita sentiasa mengalu-alukan apa juga tindakan penguatkuasaan yang menyebabkan kemudaratan terhadap masyarakat.

"Jika ia (serbuan) dilakukan SPRM dan Jabatan Imigresen Malaysia, tentu sahaja kita mengalu-alukan tindakan itu," katanya ketika sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 di sini pada Jumaat.

Iklan

Mengulas mengenai timbul dakwaan sindiket penipuan dalam talian yang ditumpaskan dalam serbuan itu dipercayai dilindungi agensi penguatkuasaan tertentu, Acryl Sani berkata, pihaknya tidak melindungi anggotanya yang terbabit kegiatan sedemikian.

"Jika terdapat pembabitan mana-mana pegawai dan anggota polis dalam apa juga aktiviti yang menyalahi undang-undang, kita akan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Iklan

"PDRM sehingga kini konsisten dan tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang terbabit perbuatan menyalahi undang-undang," katanya.

Pada 23 Februari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, pihaknya percaya ada anggota penguat kuasa daripada agensi tertentu yang disogok dan tidak menolak juga kemungkinan bahawa aktiviti mereka dilindungi selama ini oleh pihak-pihak tertentu.

Katanya, sindiket berkenaan dianggotai oleh warga asing yang masuk ke negara ini sebagai pelancong, jadi tidak mustahil mereka akan membayar individu tertentu untuk mendapatkan pelindungan.