SHAH ALAM - Air Selangor sentiasa dalam usaha bagi memastikan pengguna sedia maklum akan gangguan bekalan air berjadual ini.
Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Air Selangor Abdul Raof Ahmad berkata pihaknya sentiasa memastikan pengguna membuat persediaan awal bagi gangguan berjadual ini.
"Air Selangor melaksanakan aktiviti turun padang bagi pengedaran notis hebahan dan memberi penerangan kepada pengguna-pengguna di kawasan-kawasan yang terjejas.
"Orang ramai juga dinasihatkan agar menyimpan bekalan secukupnya bagi keperluan sepanjang tempoh gangguan dan menasihatkan pengguna menggunakan air dengan berhemat," katanya.
Katanya, Air Selangor juga telah melaksanakan beberapa penyusunan bantuan pengagihan bekalan air.
"Sebanyak 82 buah lori tangki air dan 17 'Jumbo tanker' akan digerakkan bermula 24 April ini bagi membekalkan air kepada pengguna dan premis kritikal yang terjejas seperti hospital, pusat kesihatan dan lain lain.
"Selain itu sebanyak 106 buah tangki-tangki statik akan juga ditempatkan di lokasi atau premis kritikal," katanya.
Dalam pada itu, pengguna juga dapat menghubungi Air Selangor untuk mendapatkan sebarang makluman berhubung gangguan bekalan air berjadual ini.
"Air Selangor menghargai kerjasama pelanggan sepanjang tempoh gangguan dan pelanggan dinasihatkan untuk merujuk laman sesawang www.syabas.com.my atau muat turun aplikasi telefon bimbit"Air Selangor” di Google Play atau App Store.
"Pengguna juga boleh melayari Facebook Air Selangor atau twitter @air_selangor untuk maklumat kawasan dan status terkini yang akan dikemaskini dari semasa ke semasa," katanya.