PELAKON dan pengacara, Karl Shafek mengakui terpaksa menolak banyak tawaran lakonan kerana terikat dengan tanggungjawabnya menguruskan perniagaan jenama fesyen milik sendiri, Neonate Company sejak empat tahun lalu.
Apatah lagi, selebriti asal Pekan, Pahang ini banyak terlibat dengan persiapan untuk acara-acara berkaitan fesyen di seluruh negara, menjadikan masanya begitu terhad untuk melakukan perkara lain.
"Jujurnya memang rindu untuk kembali aktif berlakon macam dulu kerana minat saya kepada dunia seni memang sangat besar.
"Cuma buat ketika ini saya terpaksa memberi keutamaan kepada perniagaan yang baru sahaja mahu menempa nama, sekali gus memerlukan banyak perhatian daripada saya.
"Mahu tidak mahu, terpaksalah saya menolak tawaran berlakon drama yang datang kerana kebanyakannya mengambil masa penggambaran yang agak panjang, sedangkan saya perlu menguruskan pelbagai perkara dalam masa yang sama,” ujar Karl kepada Sinar Harian.
Menurut pelakon Rindu Awak 200% ini, biarpun ada di antara pihak produksi yang sedia bertolak ansur dari segi jadual kerja, namun dia merasakan adalah lebih baik untuk tidak menyusahkan pihak lain.
Bagaimanapun, akui Karl, dia tidak pernah berhasrat untuk mengundurkan diri dalam bidang lakonan, cuma masa menjadi kekangan untuknya.
"Memang rasa sayang bila terpaksa tolak tawaran berlakon, apatah lagi bila dapat skrip yang baik dan team yang bagus, tapi saya buat ketika ini keutamaan adalah untuk besarkan jenama fesyen saya.
"Apa pun saya tidak pernah terlintas untuk mengundurkan diri dalam bidang seni, sebaliknya masih lagi buat pengacaraan seperti biasa kerana ia tidak mengambil masa yang panjang.
"Untuk lakonan, saya hanya tidak dapat memberikan komitmen kepada penggambaran drama sahaja, kalau untuk teater, saya tiada masalah kerana latihan dan persembahan dilakukan pada waktu malam,” katanya yang pernah tampil dalam teater Tenggelamnya Kapal Van De Wijck di Istana Budaya.