PELUMBA sensasi, Lewis Hamilton menafikan 2023 menjadi musim terakhirnya dalam saingan perlumbaan Formula Satu (F1), sebaliknya bersedia untuk kekal bersama Mercedes untuk musim depan.
Juara dunia tujuh kali itu masih belum membaharui kontrak baharu ketika perjanjiannya bersama pasukan tersebut dijangka tamat akhir musim ini.
Tercetus spekulasi Hamilton akan meninggalkan sukan tersebut sejak penamat kontroversi pada 2021 apabila Max Verstappen merampas kejuaraannya di Abu Dhabi.
Hamilton meneruskan perlumbaan musim lalu walaupun Mercedes bergelut dan kehilangan gelaran kategori pengeluar kepada Red Bull.
Pelumba berusia 38 tahun itu giat menjalani persiapan untuk memulakan musim ke-17 dalam saingan F1.
Dua bekas pemandu F1, Jenson Button dan Damon Hill mendakwa Hamilton akan bersara pada penghujung musim ini, namun pelumba Britain itu menepis dakwaan berkenaan.
"Ia khabar angin yang direka seseorang tanpa sebarang fakta. Ia tidak berfaedah. Anda pasti fikir bahawa mereka (Button dan Hill) amat mengenali saya ketika ini,” katanya.
Hamilton menjelaskan bahawa dia mempunyai hubungan yang istimewa bersama Mercedes selain mengakui teruja untuk berdepan cabaran baharu pada musim ini.
"Saya sudah bersama Mercedes sejak berusia 13 tahun dan musim lalu merupakan tahun yang sukar tetapi saya masih di sini dan sama ada kami akan melalui satu tahun yang sukar atau tidak tahun ini, saya tetap akan berada di sini.
"Saya gemarkan cabaran untuk mencari penyelesaian. Saya juga masih ada kepercayaan untuk membawa jentera kami di tempat yang sepatutnya dan mungkin orang lain tidak dapat melakukannya.
"Sudah pasti saya berharap kami dapat memulakan musim dengan jentera yang hebat, tetapi apa yang sebenarnya diambil kira adalah proses itu,” katanya.