Selangor antara negeri tertinggi tawar Menu Rahmah

Iklan
Mohd Zawawi (tiga dari kanan) dan Mohd Zuhairi mengunjungi dua premis makanan di Shah Alam yang menyediakan Menu Rahmah.

SHAH ALAM - Selangor antara negeri tertinggi menyediakan Menu Rahmah dengan penyertaan lebih 300 pengusaha makanan sejak diperkenalkan kerajaan awal Februari lalu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, sebanyak 200 premis telah mendaftar di Direktori Menu Rahmah dan 100 restoran sedang dalam proses pendaftaran.

Iklan
Iklan

Menurutnya, KPDN sedang mengumpul data dan yakin jumlah penyertaan adalah lebih tinggi daripada yang didaftarkan.

"Data kami belum menyeluruh dan kami yakin jumlah premis yang tawar harga murah melebihi daripada angka tersebut.

Iklan

"Kami jangka lebih ramai sertai program ini kerana selain dapat bersedekah, pada masa sama dapat menarik lebih ramai pelanggan ke kedai mereka," katanya ketika 'kick off' Program Menu Rahmah peringkat Selangor pada Jumaat.

Sebanyak dua kedai makan iaitu Cafe Centre Seksyen 14 dan Restoran Deli Thai Jalan Plumbum Seksyen 7 yang menyediakan Menu Rahmah telah dilawati pada program itu.

Iklan

Majlis disempurnakan oleh Exco Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Mohd Zuhairi berkata, penguat kuasa KPDN akan menjalankan pemantauan bagi memastikan hidangan disediakan bersesuaian dengan aspirasi Menu Rahmah iaitu berkhasiat dan tidak mengabaikan kualiti makanan.

Beliau turut menolak dakwaan Program Menu Rahmah tidak mendapat sambutan dalam kalangan pengusaha makanan bukan Melayu.

"Tidak boleh kata penyertaan restoran bukan Melayu rendah kerana penyertaan tidak dihadkan kepada restoran Melayu sahaja.

"Malah, Persatuan Kedai Kopi Malaysia-Singapura yang majoriti keahlian dari kaum Cina turut memberikan komitmen untuk menjalankan Menu Rahmah," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zawawi berkata, kerajaan negeri menyokong perlaksanaan Menu Rahmah dan akan membantu meningkatkan kesedaran serta mempromosikan kempen tersebut.

"Kami galakkan peniaga supaya menyediakan Menu Rahmah dengan harga berpatutan sebagai sumbangan kepada masyarakat khususnya dalam kalangan B40 serta mahasiswa.

"Jika mereka boleh tawarkan Menu Rahmah, saya yakin lebih banyak pelanggan akan mengunjungi kedai mereka," katanya.

Menu Rahmah menawarkan set makanan serendah RM5 dan senarai premis yang menyertai program tersebut boleh disemak melalui pautan https//menurahmah.kpdn.gov.my.