KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melumpuhkan tiga sindiket dadah dengan menangkap enam suspek warga tempatan berusia 21 hingga 44 tahun.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, lima lelaki dan seorang wanita diberkas di beberapa lokasi iaitu di Taman Tun Dr Ismail, Taman Keramat, Taman Melati, Pandan Perdana, Taman Maluri serta Taman Gemilang Cheras, dekat sini.
Beliau berkata, menerusi tangkapan tersebut, polis merampas dadah bernilai keseluruhan RM2 juta yang dipercayai menjadi bekalan di sekitar Lembah Klang.
Kata beliau, kesemua serbuan itu dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul pada 27 Februari sehingga 1 Mac.
"Dalam serbuan di Taman Tun Dr Ismail, polis menangkap dua lelaki tempatan yang terlibat dalam sindiket pertama dan merampas dadah jenis ganja seberat 20 kilogram yang dianggar bernilai RM50,000.
"Seterusnya pada 1 Mac, polis melancarkan dua serbuan di Taman Keramat dan Taman Melati dan merampas dadah dipercayai jenis syabu seberat 3 kilogram yang dianggarkan bernilai RM123,000.
"Bagi tangkapan sindiket kedua, polis merampas dadah dipercayai syabu bernilai RM246,000 menerusi dua serbuan di dua lokasi berbeza iaitu di Taman Keramat dan Taman Melati," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Jumaat.
Azmi berkata, polis melakukan empat serbuan bagi melumpuhkan sindiket ketiga di sekitar Segambut, Cheras dan Pandan Perdana dengan merampas pelbagai jenis dadah seperti syabu, ketamine, ecstacy, pil erimin 5, ganja serta serbuk dan cecair MDMA.
Jelas beliau, tiga sindiket tersebut mula dikesan beroperasi sejak tiga bulan lalu dan polis masih mengesan ahli-ahli sindiket terlibat.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan bagi keseluruhan tangkapan dianggarkan berjumlah RM2.18 juta.
"Kesemua suspek direman selama tujuh hari dari tarikh tangkapan di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Sementara itu ditanya mengenai kes 13 naskhah al-Quran yang dibuang di dalam longkang berhampiran Tasik Sri Murni, Jinjang, Azmi berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan.
Beliau berkata, pihaknya telah mengenal pasti syarikat dan pihak membuat tempahan al-Quran.
Ekoran itu kata beliau, pihaknya telah ke sebuah syarikat pencetakan di Kelantan untuk proses siasatan.
"Saya tidak mengatakan syarikat tersebut satu-satunya yang mencetak al-Quran yang dibuang tersebut, namun ia adalah antara syarikat terlibat," katanya.