JOHOR BAHRU - Seorang lelaki membuat laporan polis atas layanan 'ala samseng' terhadapnya ketika berurusan di sebuah premis milik sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka di Taman Ungku Tun Aminah dekat sini pada petang Khamis.
Menurut lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Hazri itu, insiden tersebut berlaku sekitar jam 3 petang, ketika dia dan bapa mertuanya datang ke premis terbabit setelah diminta berbuat demikian oleh bahagian khidmat pelanggan syarikat telekomunikasi berkenaan.
Bagaimanapun, Hazri berkata, dia tidak menyangka menerima layanan 'buruk' ketika berurusan dengan salah seorang kakitangan di premis itu biarpun dimaklumkan petugas di premis berkenaan akan membantu mempermudahkan proses migrasi itu tanpa sebarang kesulitan memandangkan isu itu berpunca daripada kerosakan kabel talian dan bukannya berpunca daripada pelanggan.
"Saya dan bapa mertua datang ke premis syarikat itu kira-kira jam 3 petang semalam (Khamis) selepas diminta berbuat demikian oleh bahagian khidmat pelanggan syarikat itu berhubung dengan proses migrasi talian lama milik bapa mertua saya ke fiber optik selepas infrastruktur bagi talian lama itu tidak berfungsi dan malah, aduan mengenainya telah ditutup selain kontraktor yang sepatutnya datang untuk memperbaikinya tidak datang sebagaimana yang dijanjikan.
"Sebaik tiba di kaunter nombor 5 premis berkenaan, saya menjelaskan kronologi kehadiran kami di situ yang disebabkan oleh kerosakan pada infrastruktur syarikat telekomunikasi itu sendiri; namun, ketika berurusan, cap jari bapa mertua saya tidak dapat diimbas menyebabkan seorang petugas di situ mengarahkan kami ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendapatkan surat pengesahan kad pengenalan.
"Apabila saya katakan arahan itu sebagai satu proses yang memperbodohkan dan menyusahkan pelanggan, petugas berkenaan berulangkali mencabar kami untuk melaporkan tindakannya ke pihak pengurusan syarikat itu," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Tambah Hazri, petugas berkenaan juga enggan mendengar lebih lanjut dan mengatakan proses migrasi tidak dapat diteruskan kerana ia berpunca akibat cap jari bapa mertua saya yang tidak dapat diimbas dan kami perlu datang semula dengan surat pengesahan dari JPN.
Bagaimanapun, menurut Hazril, pihaknya kesal apabila dimaklumkan oleh pihak pengurusan atasan syarikat telekomunikasi berkenaan bahawa proses migrasi sebenarnya tidak memerlukan pelanggan ke cawangan syarikat terbabit kerana kakitangan di cawangan berkenaan sepatutnya mempermudahkan proses migrasi tersebut.
"Ketika kejadian, terdapat kira-kira enam pelanggan dan lapan petugas di premis itu, tetapi tidak seorang pun petugas mahupun pengawal keselamatan di situ cuba mengawal keadaan atau menghentikan tindakan samseng petugas itu seolah-olah ini bukan pertama kali insiden seperti itu berlaku kepada pelanggan.
"Kelakuan samseng petugas itu turut memberi kesan terhadap bapa mertua saya yang mempunyai masalah jantung.
"Oleh itu, saya telah membuat satu laporan polis berhubung kejadian itu dan bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang atas perbuatan mengaib serta memalukan saya dan bapa mertua di khalayak ramai,” ujarnya.