Bengkel tawar baiki kereta terjejas banjir secara percuma

Iklan
Mohammad Naim melihat kerosakan kereta akibat dimasuki air. - Foto Bernama

KLUANG - Sebuah bengkel kereta DRS Auto di daerah ini menawarkan perkhidmatan membaik pulih kereta yang terjejas banjir secara percuma, bagi membantu mangsa yang terkesan bencana itu.

Pemiliknya, Mohammad Naim Yacob, 38, berkata, beliau mengambil inisiatif itu, kerana memahami beban mangsa yang terpaksa menanggung kerugian akibat musnah harta benda dan sebagainya, akibat bencana itu.

Iklan
Iklan

Katanya, beliau tergerak untuk menghulurkan bantuan itu, apabila melihat banjir kali ini yang disifatkan antara yang terburuk pernah berlaku.

"Saya nak bantu mana-mana kereta yang terkesan akibat banjir, saya akan membantu secara percuma dan semampu yang saya boleh buat, yang penting sampai kereta boleh dihidupkan dan pemilik boleh guna.

Iklan

"Kalau boleh mana-mana kereta yang dah tenggelam banjir, saya harap jangan hidupkan dulu, telefon saya dan saya akan datang ke tempat mangsa dan baiki sehingga enjin dia hidup semula,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di sini, pada Jumaat.

Bapa kepada tiga orang anak itu, kini telah menerima sebanyak tiga kereta yang dimasuki air banjir.

Iklan
Mohammad Naim menawarkan perkhidmatan percuma kepada mangsa banjir bagi menghidupkan kembali enjin kereta sekali gus membantu meringankan beban mereka akibat bencana itu. - Foto Bernama

"Saya anggarkan boleh baiki anggaran 10 kereta satu hari, bergantung pada masa dan jenis kerosakan.

"Antara perkhidmatan yang kita boleh buat pada kereta yang dah kena banjir ni kita cuci dan ganti minyak hitam, tembak angin untuk keluarkan minyak dan ganti penapis angin,” katanya yang mana kos sebenar menelan kira-kira RM200.

Dia yang telah mempunyai bengkel kereta selama 15 tahun itu juga, bercadang mengajak beberapa teman lain yang mempunyai bengkel atau kemahiran membaiki untuk turut serta ke Chaah, Segamat, memandangkan kawasan itu terjejas teruk.

"Dari segi pengangkutan, kita takkan kenakan apa-apa. Seikhlas hati dan percuma,” katanya.

Sebelum ini, tular mesej Whatsapp Mohammad Naim yang menawarkan perkhidmatan percuma itu kepada warga Kluang yang terjejas banjir. - Bernama