Tular air Empangan Bekok dilepas

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan air Empangan Bekok di Batu Pahat dilepaskan. - Foto Facebook

BATU PAHAT - Air Empangan Bekok dekat sini terpaksa dilepaskan apabila mencecah paras berbahaya sekali gus mengakibatkan kawasan berhampiran dinaiki air dan berlaku pertambahan mangsa banjir di daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng, Ling Tian Soon berkata, berikutan itu mangsa banjir di sini meningkat dan setakat jam 10 pagi Jumaat dengan 16 pemindahan sementara (PPS) sudah dibuka.

Iklan
Iklan

Jelasnya yang juga Exco Kesihatan dan Perpaduan negeri, PPS berkenaan melibatkan 3,661 mangsa banjir daripada 1,042 keluarga.

"Saya harap semua pihak akan mengekalkan semangat membantu antara satu sama lain dalam situasi sukar ini," katanya ketika dihubungi.

Iklan

Setakat jam 12 tengah hari Jumaat, seramai 32,719 mangsa banjir daripada 9,253 keluarga di Johor ditempatkan di 218 PPS.

Terdahulu, tular dalam media sosial rakaman video menunjukkan air Empangan Bekok didakwa dilepaskan sehingga mengundang kerisauan orang ramai.

Tian Soon (kiri) melawat mangsa banjir yang ditempatkan di sebuah sekolah di Yong Peng, Batu Pahat, pada Jumaat

Iklan

Turut tular, mesej dalam aplikasi WhatsApp mengenai kawasan yang akan terjejas akibat pelepasan air Empangan Bekok iaitu Yong Peng, Sri Medan, Parit Yaani, Parit Sulong, Sri Gading dan Parit Raja.

Sementara itu, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, air di empat empangan sudah dilepaskan setakat ini iaitu Empangan Bekok serta Empangan Sembrong di sini serta Empangan Machap di Kluang dan Labong, Mersing.

Beliau memberitahu, Empangan Sembrong dan Empangan Bekok sudah mencatatkan paras bahaya manakala Empangan Sembrong, aras takungan air semasa menunjukkan bacaan 12.18 meter (m) berbanding paras normal, 8.50m.

Di Empangan Bekok pula katanya, aras takungan air semasa menunjukkan bacaan 20.75m berbanding paras normal, 16m.