LUMUT - Sembilan restoran antara 14 premis yang dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik selepas dikesan terlibat aktiviti perjudian.
Tindakan itu dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi Op Dadu Khas di sekitar kawasan Ayer Tawar, Sitiawan dan Lumut di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, siasatan mendapati kesemua premis terbabit masih berdegil menjalankan kegiatan haram itu meskipun pernah dikenakan tindakan sebelum ini.
"Premis tersebut berselindung di sebalik perniagaan sah seperti restoran ini membuka kedai runcit mini dalam premis untuk jadi ejen judi dalam talian serta nombor ekor haram.
"Lima premis lain merupakan kedai aksesori telefon. Siasatan mendapati ejen perjudian ini memperoleh komisen antara 18 hingga 22 peratus berdasarkan jualan mereka," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi itu di sini.
Beliau berkata, tindakan dilakukan mengikut Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Tambah Nor Omar berkata, sebanyak 73 serbuan telah dilakukan sejak 1 Januari lalu dengan 21 daripadanya dituduh di mahkamah.
"Sepanjang tahun 2022, 352 serbuan dilakukan dengan 259 daripadanya telah didakwa di mahkamah, 19 premis dipotong bekalan elektrik manakala selebihnya masih dalam siasatan.
"Op Dadu akan dilaksanakan secara berterusan bagi membanteras kegiatan tersebut dengan lebih agresif," katanya.