KETUA Cawangan Komersial Institut Sukan Negara (ISN), S. Nishel Kumar telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bermula 1 Mac.
Presidennya Datuk Seri Subahan Kamal berkata, selain menjaga tadbir urus persatuan, Nishel juga diberikan tanggungjawab melancarkan penganjuran Piala Dunia Remaja 2023 bermula 5 hingga 16 Disember ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebagai edisi terbaik dalam sejarah kejohanan itu.
Subahan turut mengumumkan Presiden Persatuan Hoki Perak, Mohd Sayuti Abdul Samat, 65, menggantikan beliau sebagai Pengarah Kejurulatihan MHC, manakala tempat Mohd Sayuti sebagai Ahli Lembaga Eksekutif MHC kini digalas oleh Presiden Persatuan Hoki Selangor, S. Ganesh.
"Mohd Sayuti juga seorang bekas pemain kebangsaan yang beraksi sebagai penjaga gol (dengan 45 caps). Antara tugas yang diberikan adalah untuk memastikan jurulatih dapat meningkatkan tahap mereka," katanya pada Bengkel Perancangan Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Kontrak CEO terdahulu, Nor Faraha Hashim, tamat pada hujung tahun lepas.
Nishel Kumar, penyerang skuad kebangsaan dari 1996 hingga 2004, pernah beraksi di Piala Asia 1991 dan 2003, serta meraih emas Sukan SEA Brunei 1999.
Beliau pernah menggalas jawatan Penolong Pengarah Kanan Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Ketua Operasi Anti-Doping Sukan SEA KL 2017, selain bertugas di Olimpik Tokyo 2022 dan Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018.
Sementara itu, Subahan berkata pelaksanaan NHDP berada pada landasan betul untuk mencungkil bakat baharu dengan lebih kurang 5,500 peserta bermain hoki di bawah 110 pusat pelbagai peringkat di seluruh negara.
Dalam pada itu, Nishel Kumar, 45, berharap hubungan rapatnya dengan hampir kesemua jurulatih kebangsaan, dapat menjadikan beliau sebagai penghubung antara jurulatih dan pemain dengan pihak pengurusan.
"Saya pernah beraksi bersama-sama dengan kebanyakan jurulatih sekarang seperti ketua jurulatih skuad Speedy Tigers, A, Arul Selvaraj, Nasihin Nubli Ibrahim (Malaysian Tigress), Lailin Abu Hassan (Young Tigress) dan Muhamad Amin Rahim (Young Tigers). Rasa bagaikan 'sirih pulang ke gagang'.
"Saya harap barisan jurulatih ini boleh berbicara secara terbuka dengan saya dalam usaha mencari sebarang penyelesaian terbaik," katanya.
Menurutnya, selepas meninggalkan skuad kebangsaan, minat untuk sukan hoki kekal utuh dengan mengendalikan program pembangunan hoki untuk kanak-kanak B-40 di Kajang, Selangor. - Bernama