KUALA TERENGGANU - Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri Terengganu, Hanafiah Mat menafikan dakwaan beliau memperlekehkan hidangan Menu Rahmah sebagaimana tular dalam media sosial pada Jumaat.
Hanafiah berkata, video tersebut dirakam ketika beliau menjamah nasi bersama rakan di sebuah kedai di luar Terengganu namun ia tiada sebarang kaitan dengan Menu Rahmah sebagaimana didakwa.
"Apa yang dipaparkan dalam video itu adalah menu makan tengah hari saya apabila hidangan tersebut berlaukkan seekor ikan, dua jenis sayur dan telur goreng tanpa kuah kerana hidangan tersebut memang tidak disediakan kuah.
"Kami juga dicaj kira-kira RM15 untuk dua orang. Saya tidak menyentuh soal Menu Rahmah dan langsung tiada niat menghina golongan tertentu kerana itu bukan diri saya, sebagai wakil rakyat saya faham denyut nadi rakyat.
"Apa yang berlaku adalah apabila ada pihak lain yang tersilap tafsir mengenai video ini dan menuduh saya dengan dakwaan yang bukan-bukan,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Jumaat.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan video tersebut dengan dakwaan yang salah.
"Saya akan bincang dengan peguam dan beri mereka masa dua hari untuk membuat permohonan maaf melalui TikTok,” katanya.
Satu rakaman video yang memaparkan seorang individu dipercayai Hanafiah didakwa memperlekehkan satu hidangan dipercayai Menu Rahmah yang dibeli tular di media sosial pada Khamis.
Berdasarkan video itu, Hanafiah dilihat menjamah hidangan tersebut sambil merungut tentang sayur yang sedikit dan tiada kuah.
Video berdurasi 18 saat yang tersebar ketika ini turut menimbulkan pelbagai reaksi netizen.