TANJONG KERAMAT -"Bunyi sangat kuat dan nampak angin berpusar sebelum pokok mangga tumbang hempap bumbung rumah,” demikian kata mangsa ribut, N Arumugam, 46.
Arumugam antara lima penduduk di Kampung Tanjong Keramat yang teruk dilanda ribut lewat 6.30 petang semalam sehingga mencederakan dua orang akibat bumbung dihempap pokok.
Menurut Arumugam, ketika kejadian dia bersama dua pelanggannya yang datang untuk berubat di kawasan depan rumah bagaimanapun terhenti berikutan angin kuat.
"Masa kejadian saya keluar tengok angin kuat sangat dan tak senang hati... bila keluar jenguk rumah jiran, nampak bumbung rumah terbang dan lepas tu pokok tumbang.
"Nasib baik ada lori tepi rumah, jadi pokok tu tak tumbang habis. Kalau tak ada lori tu, mungkin dua orang yang datang cedera teruk,” katanya yang menyifatkan kejadian pertama kali berlaku dalam hidupnya.
Arumugam berkata, inilah kejadian ribut paling menakutkan yang pernah berlaku dalam hidupnya selama berkahwin 25 tahun dan menetap di kampung itu.
"Anak-anak pun masa kejadian kata bunyi angin kuat tu pelik sampai mereka terkedu... dan bila pokok tumbang semuanya terperanjat tapi nasib baik mereka tak ada apa-apa.
"Sisa pokok tumbang sudah dibersihkan dan terima kasih kepada wakil rakyat sebab bantu bagi sumbangan untuk ringankan beban kami,” katanya ketika dikunjungi ADUN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli.
Sementara itu, Juwariya berkata, pihaknya difahamkan kejadian ribut dengan angin berpusar itu dikatakan pertama kali melanda kampung itu bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
"Ada dua cedera ringan. Saya berikan sedikit sumbangan sebagai tanda takziah atas musibah selain berbincang dengan pejabat Ahli Parlimen Kuala Selangor untuk bantuan baik pulih rumah.
"Kerja baik pulih dilaksanakan segera dan meminta Majlis Daerah Kuala Selangor supaya dapat membantu membersihkan sisa pokok tumbang di kawasan terjejas,” katanya.