Belanjawan 2023: Bomba antara paling gembira - Kor Ming

Iklan
Nga Kor Ming

KUALA LUMPUR - Belanjawan 2023 baru-baru yang menyaksikan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan mendapat peningkatan peruntukan hampir RM200 juta, turut tidak terkecuali membuatkan warga Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), agensi di bawah kementerian itu, ‘tersenyum lebar’.

Manakan tidak, JBPM, yang menerima Anugerah Kategori Emas Tertinggi dalam majlis Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) 2022, menjadi antara agensi yang mendapat ‘lonjakan’ peruntukan melalui peruntukan sebanyak RM206.64 juta bagi memperkasakan perkhidmatan bomba.

Iklan
Iklan

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, peningkatan 32 peratus peruntukan itu berbanding tahun sebelumnya, cukup menggambarkan Kerajaan Perpaduan yang sangat menghargai ‘wira merah’ itu, yang jasanya dalam membantu menyelamat orang ramai sering disanjung dan dikenang.

Jumlah berkenaan, kata Kor Ming turut meliputi peruntukan RM46.51 juta bagi perolehan peralatan dan kelengkapan untuk meningkatkan kecekapan dan tahap kesiapsiagaan JBPM, peningkatan hampir lima kali ganda berbanding pada 2022.

Iklan

"Ini termasuklah peruntukan membeli 12 ekor anjing unit pengesan (K9) bagi membantu operasi mencari dan menyelamat dalam bencana,” kata Kor Ming dalam temu bual dengan Bernama.

Bukan itu sahaja, beliau berkata JBPM turut menerima peruntukan RM129.93 juta bagi pembinaan bangunan JBPM baharu di seluruh Malaysia dan menaik taraf bilik siap siaga di balai bomba sedia ada, termasuk penyelenggaraan bangunan dan jentera bomba.

Iklan

"Tahun ini sahaja 15 buah balai bomba dijangka akan siap dibina menjelang hujung tahun ini. Setakat tujuh buah sudah disiapkan, lapan sedang dalam pembinaan. Tahun ini pun akan siap sepenuhnya (balai bomba) termasuk di Manjalara, Kepong, Tambun, Rembau dan lain-lain,” katanya.

Menerusi Belanjawan 2023, kementerian itu menerima peruntukan keseluruhan RM5.333 bilion pada tahun 2023 berbanding RM5.146 bilion (2022) iaitu peningkatan sebanyak 3.63 peratus bersamaan RM186.9 juta.

Kor Ming berkata, inisiatif lain dalam Belanjawan 2023 yang dilihat terus memberi tumpuan kepada agenda daya huni di negara ini ialah peruntukan RM20 juta di bawah Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti bagi memperkasa peranan komuniti sebagai kumpulan awal ketika bencana.

Selain itu ia turut melibatkan pengecualian duti setem bagi pemilikan rumah pertama dengan pengecualian sepenuhnya duti setem bagi rumah bernilai 500 ribu ke bawah dan pengecualian duti setem 75 peratus bagi rumah bernilai lebih RM500 ribu hingga RM1 juta.

Beliau berkata, lebih 2,000 persatuan penduduk juga bakal mendapat manfaat menerusi peruntukan RM20 juta di bawah Geran Pertubuhan Prihatin Komuniti bagi memperkasa peranan komuniti sebagai kumpulan awal ketika bencana.

Kor Ming berkata, pengumuman dalam Belanjawan 2023 jelas menunjukkan bahawa kerajaan serius untuk meletakkan semula Malaysia di landasan yang betul dan bukti keprihatinan kerajaan terhadap cabaran yang dihadapi rakyat dalam membina masa depan yang lebih baik untuk Malaysia. - Bernama