PERTAHANAN Liverpool, Trent Alexander-Arnold menyedari penyerang Manchester United, Marcus Rashford akan sukar dihentikan ketika pertembungan kedua-dua pasukan di Anfield dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Isnin.
Rashford menampilkan aksi cemerlang untuk Red Devils musim ini apabila menjaringkan 25 gol di bawah kendalian Erik ten Hag.
United bertandang ke Anfield dengan momentum positif selepas memenangi Piala Liga hujung minggu lalu dan bangkit daripada ketinggalan untuk mara ke suku akhir Piala FA dengan kemenangan 3-1 ke atas West Ham.
Rashford juga telah meledak 10 gol dalam 10 perlawanan terakhirnya di EPL dan bakal menyamai rekod Ruud van Nistelrooy, Eric Cantona dan Cristiano Ronaldo sebagai pemain Red Devils yang menjaringkan gol dalam enam pertemuan liga utama berturut-turut.
Alexander-Arnold tidak terkejut melihat prestasi memukau rakan sepasukannya di England itu dan percaya ada cara untuk menghentikan ketajaman Rashford.
"Satu-satunya perkara yang berubah ialah dia (Rashford) mungkin menjaringkan lebih banyak gol baru-baru ini, tetapi dia adalah pemain yang sama, dia sentiasa berbahaya dan saya pasti dia akan menjadi ancaman.
"Ia akan menjadi perlawanan yang sukar tetapi ia adalah perlawanan yang saya nantikan dan ia akan menjadi ujian yang baik.
"Sukar (untuk menghentikan Rashford). Dia seorang pemain yang mempunyai kelebihan, tetapi saya fikir ia lebih kepada usaha berpasukan, ia bukan hanya pertembungan individu," katanya.