ISKANDAR PUTERI - ADUN Tenang, Mohd Solihan Badri mengakui dirinya berdepan cabaran yang besar apabila diberi tanggungjawab memegang portfolio Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, perkara itu bukanlah isu yang besar kerana yakin dengan susunan dan gerak kerja yang baik telah pun dilaksanakan Exco terdahulu iaitu ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang.
"Memang tanggungjawab Exco untuk membantu Menteri Besar dan berkhidmat kepada rakyat. Tidak dinafikan portfolio ini memang agak berat dengan Johor sebagai sebuah negeri yang sedang membangun.
"Jadi saya akan lihat apa yang Exco lepas (Mazlan) telah susun dan akan cuba tambah baik. Saya dengan dia pun rakan baik, kami memang sentiasa berhubung sama ada dalam parti atau pun di luar," katanya ketika ditemui pemberita sejurus sidang media pembahagian portfolio Exco Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Mohd Solihan berkata, satu pertemuan bersama dengan agensi kerajaan akan diadakan dalam masa terdekat bagi mengetahui maklumat terbaharu mengenai gerak kerja portfolionya.
"Saya akan mengadakan dengan pihak yang berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan perancangan yang telah dirangka berjalan dengan lancar," katanya.
Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar, Tan Cheng Choon berkata, dirinya berbesar hati kerana diberi pulang oleh Menteri Besar Johor, Datuk Sahruddin Jamal untuk membantu kerajaan negeri.
"Terima kasih kepada parti yang buat cadangan nama saya dan tidak lupa juga kepada Menteri Besar yang buat pelantikan ini. Saya akan cuba memberikan yang terbaik dalam menggalas tanggungjawab baharu ini," katanya.