JAKARTA - Sejurus dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10, ucapan tahniah dari seluruh dunia terus diterima Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk dari Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden sehinggalah pemimpin Tibet Dalai Lama Tenzin Gyatso.
Pemimpin dunia menitipkan ucapan tahniah kepada Anwar, seorang tokoh terkenal di peringkat antarabangsa yang pernah mengalami jatuh bangun dalam arena politik selama lebih dua dekad.
Pelantikan beliau juga penuh suasana dramatik selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 yang menyaksikan parlimen tergantung.
Sabtu (4 Mac) genap 100 hari pertama beliau memegang jawatan dan ucapan tahniah dijangka terus diterima daripada pemimpin asing.
Mengimbau kembali detik ketika beliau dilantik, Presiden Indonesia, Joko Widodo adalah pemimpin pertama yang menghubungi Anwar diikuti oleh Presiden Turkiye, Recep Tayip Erdogan.
Sejak itu Anwar menerima panggilan telefon daripada beberapa pemimpin termasuk Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.
Dalam tempoh 100 hari itu juga Anwar menerima kunjungan hormat beberapa pemimpin asing dan mengadakan lawatan ke lima negara jiran.
Empat hari selepas mengangkat sumpah jawatan, Anwar menerima kunjungan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah yang tiba di Malaysia pada 28 November.
10 hari kemudian beliau menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwan (8 Disember) dan empat hari selepas itu bertemu Presiden Timor Leste Ramos Horta(12 Disember).
Pada 17 Februari Anwar menerima kunjungan Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier. Di samping itu beliau turut menerima kunjungan beberapa menteri dan utusan yang dihantar oleh negara masing-masing untuk mengucapkan tahniah dan menyemarakkan semula hubungan dua hala.
Antara menteri luar yang membuat kunjungan hormat kepada Anwar ialah Vivian Balakrishnan dari Singapura dan yang terbaru Penny Wong dari Australia.
Tanpa berlengah Anwar terus memenuhi amalan tradisi iaitu melakukan kunjungan hormat ke atas negara jiran bermula dengan Indonesia diikuti Brunei, Singapura, Thailand dan yang terbaru Filipina.
Semasa lawatan ke Jakarta dari 8 hingga 9 Januari, beliau bertemu rakan sejawatannya dari Indonesia, Joko Widodo di Istana Presiden Bogor.
Anwar turut berbesar hati kerana berpeluang bertemu dengan ramai kenalan termasuk tokoh agama, budaya dan politik serta bekas menteri semasa lawatan itu.
Antara perkara yang dibincangkan oleh kedua-dua pihak termasuk melibatkan ekonomi dan pelaburan dua hala, pembangunan Nusantara, ibu negara baharu Indonesia, isu persempadanan semula yang telah berlarutan selama 60 tahun dan isu tenaga kerja Indonesia di Malaysia.
Selepas Indonesia, Anwar mengdakan lawatan dua hari ke Bandar Seri Begawan, Brunei dari 24 hingga 25 Januari untuk bertemu Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman.
Anwar berkata, selain daripada komitmen untuk mengekalkan kerjasama sedia ada, Kerajaan Perpaduan Malaysia di bawah pimpinan beliau akan berusaha untuk meneroka kerjasama strategik baharu dengan Brunei.
Beliau turut menyambut baik hasrat dan tawaran daripada Brunei untuk melabur dalam pelbagai sektor ekonomi yang berpotensi tinggi di Malaysia termasuk oleh Brunei Investment Agency (BIA).
Selepas Brunei, Anwar ke Singapura pada 30 Januari untuk lawatan sehari. Berucap pada jamuan tengah hari yang dihoskan rakan sejawatannya Lee Hsien Loong, beliau berkata aspek jaminan keselamatan dilihat sebagai bidang baharu untuk diterokai bersama Singapura.
Hsien Loong dalam ucapannya berkata, beliau dan Anwar telah mengadakan perbincangan yang membuahkan hasil termasuk bagaimana kedua-dua negara boleh membuat kemajuan dalam isu dua hala yang masih tertangguh.
Dalam lawatan rasmi sulung ke Thailand selama dua hari dari 9 hingga 10 Februari, beliau mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatan dari Thailand, Prayuth Chan o-cha.
Kedua-dua pemimpin menyentuh menggenai isu tertangguh termasuk menamatkan konflik di selatan Thailand yang menyaksikan Malaysia bertindak sebagai fasilitator untuk proses dialog damai.
Anwar dan Prayuth sepakat bahawa iltizam politik memainkan peranan penting dalam menyelesaikan konflik dengan Malaysia dan tidak akan membenarkan sebarang keganasan dalam merungkai konflik itu.
Perdana Menteri Malaysia itu berkata, ASEAN harus mengambil usaha yang koheren dan bersepadu sebagai sebuah badan serantau dalam menyelesaikan krisis Rohingya di Myanmar.
Lawatan terbaru Anwar sebelum pentadbiran beliau mencecah 100 hari adalah ke Filipina dari 1 hingga 2 Mac.
Beliau menjadi tetamu rasmi pertama Ferdinand Marcos Jr sejak dilantik sebagai presiden republik itu pada 30 Jun 2022. Lawatan itu menyerlahkan kepentingan Filipina sebagai jiran dan rakan senegara ASEAN.
Ketika di Manila, Anwar telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang atau honoris causa oleh Universiti Filipina (UP) kerana menjadi sarjana dan memiliki kepakaran antarabangsa dalam bidang ekonomi, demokrasi, kebebasan, tadbir urus, Islam dan demokrasi serta keperluan akauntabiliti.
Semasa ceramah di UP, beliau berkata konsensus membuat keputusan terus menjadi prinsip utama ASEAN, namun ia tidak bermakna kumpulan serantau itu harus berdiam diri berhubung perkembangan di negara anggota yang menjejaskan rantau ini,
Sementara itu, Marcos menyuarakan keyakinan bahawa persahabatan yang telah lama terjalin antara Manila dan Kuala Lumpur akan membolehkan mereka melepasi cabaran kini dan masa depan yang termasuk"pergolakan geopolitik, gangguan bekalan dan inflasi."
Memandangkan Anwar dan Erdogan menikmati persahabatan yang erat, maka tidak hairanlah Malaysia antara yang terawal menghantar pasukan SMART untuk menyelamatkan mangsa gempa bumi yang melanda negara itu 6 Februari lalu.
Malah pada 15 Feb Anwar melawat lokasi kejadian sebagai solidariti dengan Turkiye dan melihat sendiri usaha menyelamat pasukan Malaysia. Malaysia setakat ini telah menjanjikan sehingga RM20 juta bantuan kemanusiaan untuk Turkiye dan negara jiran Syria.
Pastinya ia menjadi 100 hari pertama yang sibuk buat Anwar dalam urusan hubungan dua hala dan antarabangsa. Lebih banyak kunjungan ke luar negara dan lawatan pemimpin asing ke Malaysia bakal disaksikan. - Bernama