SHAH RUKH KHAN memang menjadi kegilaan dan idola dari serata dunia.
Para peminat akan melakukan apa sahaja demi bertemu dengan bintang Bollywood tersebut.
Ini termasuklah mengambil risiko ditangkap polis atau pihak berkuasa atas tindakan di luar kotak mereka.
Memetik Gempak.com, begitulah yang terjadi kepada dua peminat tegar Shah Rukh Khan apabila ditahan selepas cuba menceroboh masuk ke kediaman aktor itu di Mannat, Mumbai, India pada Khamis lalu.
Namun percubaan mereka yang memanjat dinding luar banglo milik selebriti itu gagal selepas berjaya ditangkap pengawal keselamatan ketika asyik ‘membuat kerja’.
Sewaktu pemeriksaan polis dijalankan, kedua-dua peminat tersebut mengaku datang dari Gujarat dan ingin bertemu Shah Rukh Khan. Mereka juga berusia sekitar 20 dan 22 tahun, lapor Hindustan Times.
Mereka kini berdepan pertuduhan memecah masuk dan beberapa kes lain yang selaras dengan Indian Penal Code (IPC).
Tahun lalu, Mannat mempunyai pintu masuk baharu lengkap papan nama yang akan bersinar dalam gelap.
Kediaman Shah Rukh Khan memang sering ‘dikunjungi’ peminat untuk sekadar mengambil gambar atau selfie.
Bintang filem Pathaan itu malah akan muncul menyapa peminatnya daripada balkoni sewaktu menyambut ulang tahun atau sambutan Aidilfitri.
Sebelum ini menerusi sesi Ask Me Anything di laman sosial Twitter, Shah Rukh Khan mengaku banyak menghabiskan masa di rumah jika tidak terlibat dengan kerja.
"Saya hanya akan menghabiskan masa dengan menonton semua filem di rumah supaya dapat merasai diri sebagai penonton, bukan pembuat karya,” jawabnya. - Awani