ATM terima peruntukan RM10 juta beli aset hadapi banjir

Iklan
Mohamad Hasan ketika menyantuni mangsa-mangsa banjir di PPS di Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman pada Sabtu. - Foto: Bernama

SEGAMAT - Kerajaan meluluskan peruntukan sekali beri sebanyak RM10 juta kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi pembelian aset dan persediaan menghadapi kejadian banjir pada masa akan datang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata peruntukan tersebut diluluskan pada mesyuarat pasca-Kabinet semalam.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, antara aset bakal dibeli adalah bot getah yang boleh memudahkan usaha menyelamat mangsa banjir terperangkap terutamanya di kawasan cetek dan lori tujuh tan.

"Ini adalah persediaan untuk kita menghadapi ancaman bukan tradisi dan melengkapkan aset dalam memberi bantuan menyelamat dalam situasi seperti ini (banjir)," katanya pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Temenggong Abdul Rahman di sini pada Sabtu.

Iklan

Mohamad berkata, pandangan daripada pihak berkaitan termasuk ATM akan diambil kira bagi mengenal pasti keperluan pembelian aset menghadapi banjir dan penempatan aset di beberapa negeri sering menghadapi banjir seperti Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Negeri Sembilan.

Beliau berkata, sebanyak 1,500 anggota tentera dikerah bagi membantu mangsa banjir di Johor melibatkan aset sebanyak 28 bot, lapan lori dan 25 trak termasuk pasukan Kor Perubatan ATM, Kor Jurutera Diraja ATM dan bahagian teknikal.

Iklan

Susulan kejadian banjir teruk di Johor, pihaknya turut menghantar anggota tentera laut buat pertama kali bagi membantu mangsa banjir bersama agensi kerajaan lain, katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mohamad berkata, pembinaan jambatan bailey di jalan utama ke Felda Selancar, Rompin, Pahang, akan disiapkan dalam tempoh terdekat.

"Sekarang ini (jambatan) akan dipasang dan kor jurutera ATM bersedia membantu Jabatan Kerja Raya, dalam sehari dua boleh siap," katanya.

Pada 1 Mac lepas, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pembinaan jambatan bailey di jalan utama Felda Selancar, Rompin yang runtuh akibat limpahan air deras ekoran hujan lebat. - Bernama