PENGGUNAAN bubu naga antara kaedah penangkapan hasil laut yang tidak berlesen dan merupakan satu kesalahan di bawah undang-undang negara ini.
Bubu naga memiliki spesifikasi yang berbeza dengan bubu yang dilesenkan Jabatan Perikanan kerana memiliki lebih dua injap bagi setiap unit bubu naga.
Bubu naga kebiasaannya diletakkan di muara sungai di antara 0.5 batu nautika hingga lima batu nautika kerana kawasan ini merupakan tempat pembiakan ikan, udang dan ketam.
Antara cabaran membanteras penggunaan bubu naga ialah aktiviti penjualannya di medium dalam talian yang boleh diperolehi dengan harga sekitar puluhan ringgit sahaja bergantung pada saiz.
Penggunaan bubu naga yang berleluasa boleh mengakibatkan hidupan di laut dan sungai berkurangan dengan ketara kerana sifatnya yang memerangkap semua hidupan di air tanpa mengira saiz termasuk anak-anak ikan, ketam dan udang.
Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, pemasangan bubu naga menggunakan sampan yang lengkap berenjin dan kebiasaannya dilakukan oleh dua individu.
Menurut beliau, bubu naga yang dikesan di perairan Selangor ialah pemasangan secara berangkai yang mana melibatkan lebih 30 unit bagi satu rangkai.
"Kebiasaannya ia dipasang ketika fasa air laut pasang besar pada kedudukan kira-kira 0.5 batu nautika hingga lima batu nautika dari pantai.
"Setelah ditinggalkan semalaman, bubu terbabit kemudian akan diangkat semasa air surut, air laut pasang kecil atau air mati dan akan dibawa balik ke darat," katanya kepada Sinar Harian.
Jelas beliau, bagi memudahkan bubu naga yang dipasang dikesan, individu terbabit akan meletakkan botol atau bendera sebagai tanda.
Noraisyah memberitahu, pihaknya percaya hasil tangkapan boleh mencecah ratusan ringgit bergantung kepada jumlah unit bubu naga yang digunakan.
Beliau berkata, jabatan itu mengesan kegiatan penjualan bubu naga di beberapa kawasan termasuk premis-premis di sekitar Klang dan Sekinchan.
Bagaimanapun, kata Noraisyah, penjualan bubu itu kini mula dikesan semakin berleluasa dijual di medium dalam talian termasuklah media sosial.
"Harga satu unit bubu naga ini dijual antara RM50 hingga RM60 dan kebiasaannya akan dibeli dalam kuantiti yang banyak.
"Ramai memilih membeli menerusi media sosial kerana ia lebih mudah dan beranggapan ia sukar dikesan pihak berkuasa,” katanya.
BERI KESAN KEPADA EKOSISTEM
Noraisyah berkata, penggunaan bubu naga ini memberi impak yang memudaratkan kepada sumber perikanan negara.
Sekiranya perbuatan itu tidak dibanteras secara serius, menurut beliau, dikhuatiri akan menjejaskan keterjaminan makanan negara pada masa akan datang.
Tegas beliau, penguatkuasaan bagi mencegah penggunaan bubu naga itu sentiasa dijalankan terutamanya melibatkan jeti-jeti nelayan di daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
Beliau berkata, operasi dilaksanakan sebagai langkah pencegahan daripada merebaknya penggunaan bubu naga itu dalam kalangan nelayan atau bukan nelayan.
"Penggunaan bubu naga ini boleh menyumbang kepada kematian anak-anak udang, ketam dan ikan seperti ikan pari, semilang, duri dan gelama kerana saiz mata bubu yang kecil.
"Tidak mustahil hasil laut akan berkurang sekali gus menjadi salah satu penyumbang kepada kenaikan harga ikan di negeri-negeri terlibat sekiranya ada permintaan yang tinggi,” katanya.
Noraisyah mengingatkan mana-mana pihak yang menggunakan bubu naga, mereka boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.
Beliau berkata, Jabatan Perikanan amat memerlukan bantuan komuniti setempat untuk meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara sumber perikanan dan membasmi kaedah penangkapan ikan yang tidak dibenarkan.
"Peranan masyarakat amat diperlukan dan orang ramai boleh menyalurkan sebarang maklumat kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut agar usaha membanteras penggunaan alatan itu dapat dilakukan secara total,” tegas beliau.
PENDAPATAN NELAYAN MEROSOT
Dalam pada itu, seorang nelayan yang mahu dikenali sebagai Hamid, 40, memberitahu bahawa pendapatannya terjejas angkara penggunaan bubu naga.
Menurutnya, ancaman bubu naga itu bukan satu perkara baharu sebaliknya telah lama dijalankan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Dahulu, penggunaan bubu naga ini tidak terlalu ketara sangat, namun sejak tiga tahun kebelakangan ini, ia nampak semakin menjadi-jadi sehingga mengganggu mata pencarian kami sebagai nelayan.
"Dulu senang, dapat tangkapan pun banyak hingga cecah ratusan ringgit. Sekarang ini hendak dapat puluhan ringgit pun susah,” katanya.
Tambah Hamid, kemungkinan kegiatan itu menggunakan khidmat warga asing dan mereka beroperasi seolah-olah seperti gengster.
Seorang lagi nelayan dikenali sebagai Hamdan, 50, pula merayu agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pemilik bubu naga.
"Kami ini nelayan, kerja kami turun laut tangkap hasil ikan untuk tampung kehidupan. Sudahlah pendapatan kami tak seberapa, ditambah pula dengan masalah bubu naga ini, fikirlah, kami nak cari makan macam mana,” ujarnya.
ALASAN PENGUSAHA BUBU NAGA
Sementara itu, seorang pengusaha bubu naga yang hanya dikenali sebagai Cheng antara pengusaha bubu naga yang peralatannya disita Jabatan Perikanan Selangor dalam operasi baru-baru ini.
Cheng mendakwa, pendapatan utamanya bergantung sepenuhnya terhadap menangkap ikan menggunakan bubu naga.
"Saya mencari hasil laut menggunakan bubu naga sudah beberapa tahun.
"Ini sumber pendapatan saya dan kalau barang ini (bubu naga) dirampas, macam mana saya nak cari duit,” kata Cheng.
Operasi Jabatan Perikanan Selangor itu membongkar penemuan bubu yang disorokkan Cheng di sebalik timbunan tong ais.
Operasi seharian itu dijalankan melibatkan 18 premis di sekitar kawasan jeti Bagan Tengkorak, Kuala Selangor serta Sungai Besar, Sabak Bernam dan berjaya merampas sebanyak 715 unit bubu naga dianggarkan bernilai RM42,900.
Antara cabaran pasukan penguat kuasa adalah kebanyakan jeti-jeti nelayan terbabit dilengkapi dengan pagar ditutupi zink bagi mengelakkan bubu-bubu naga dikesan pihak berkuasa.
Malah, terdapat juga bubu-bubu naga disembunyikan di dalam kawasan rumah.
TAHAN EMPAT LELAKI BONGKAR PENEMUAN BUBU NAGA
Sementara itu di PELABUHAN KLANG, kegiatan haram empat lelaki dipercayai menangkap ikan menggunakan bubu naga di perairan Sungai Janggut, dekat sini terbongkar selepas ditahan Maritim Malaysia Negeri Selangor, pada Khamis lalu.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim, V Siva Kumar berkata, bot fiber tiada nombor pendaftaran dinaiki keempat-empat lelaki itu ditahan kira-kira jam 1.30 petang menerusi rondaan Op Ehsan.
Menurutnya, tangkapan melibatkan empat kru termasuk tekong warga tempatan berusia antara 15 hingga 44 tahun.
"Semakan mendapati, bot itu tidak mempunyai lesen menangkap ikan.
"Tidak jauh dari kedudukan bot nelayan itu, anggota operasi berjaya mengesan satu pelampung berwarna merah yang mencurigakan di lokasi berhampiran dan pemeriksaan menemui tujuh set bubu naga diikat pada pancang kayu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan bot fiber yang tidak dilesenkan.
Katanya, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara.
"Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera,” ujarnya.
KESAN BUBU NAGA
- Mengakibatkan masalah kekurangan hasil laut.
- Memerangkap segala anak-anak ikan dan hidupan marin lain.
- Mengancam ekosistem laut.
- Menjejaskan pendapatan nelayan.
PENGGUNAAN BUBU NAGA
- Bubu naga dipasang pada kedudukan berhampiran pantai dan didapati tertumpu di lokasi 0.5 hingga lima batu nautika oleh dua individu menggunakan sampan lengkap berenjin.
- Kos membeli sebuah unit bubu naga adalah murah dan mudah didapati terutama di platform e-dagang dengan pelbagai pilihan saiz.
- Segelintir pihak mendakwa penggunaan bubu naga memberi hasil yang lumayan dengan hanya modal kecil.
TINDAKAN UNDANG-UNDANG
- Penggunaan bubu naga adalah menyalahi Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu kesalahan memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada ketua pengarah sebelum suatu lesen dikeluarkan.
- Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikena denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.