KUALA KANGSAR - Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub dianugerahkan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk pada Istiadat Menghadap Sembah Saat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-66 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah di sini pada Sabtu.
Beliau yang juga Ketua Pasukan Rasuah Busters adalah antara 13 individu yang menerima darjah itu selain Ketua Hakim Syarie Mahkamah Utama Syariah Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor; Pesuruhjaya Tinggi Kementerian Luar Negeri, Datuk Zakri Jaafar; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Rosli Isa.
Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan Darjah Seri Paduka Cura Si Manja Kini (SPCM) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Penganugerahan Darjah Seri Panglima Taming Sari (SPTS) diberikan kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima, manakala Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Isham Ishak menerima Darjah Dato' Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.
Sultan Nazrin juga berkenan mengurniakan Darjah Dato’ Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Dato’ Pahlawan kepada lima penerima.
Mereka ialah Grup Jurutera Medan Markas Pemerintahan, Medan Barat Tentera Darat, Mejar Jeneral Ir Abdul Hamid Mohd Isa; Penasihat Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Brigedier Jeneral Safwan @Asri Ismail; Kor Kesihatan Diraja, Markas Tentera Darat Malaysia, Brigedier Jeneral Dr Mohd Ghazalli Mohd Taha, Inspektor Jeneral ATM, Laksamana Muda Abd Halim Shaari dan Ketua Cawangan Khas PDRM Perak, Senior Asisten Komisioner Shazeli Kahar.
Berangkat sama pada majlis istiadat itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah.
Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan isteri, Datin Aezer Zubir.
Terdahulu, baginda berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen diketuai Kolonel Abdul Rahim Hamzah.
Sebanyak 21 das tembakan meriam dilepaskan oleh Pasukan 41 Bateri Regimen Altileri Diraja berpangkalan di Kem Sungai Buluh, Selangor yang diketuai Leftenan Kolenal Muhamad Asri Che Will.
Bersempena Hari Keputeraan baginda kali ini, seramai 212 penerima telah mendapat perkenan baginda untuk dikurniakan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak.
Daripada jumlah itu, seramai 22 individu akan menerima darjah kebesaran masing-masing pada Sabtu termasuk satu penerima secara anumerta.