Rizal pergi selamanya, tapi tak sangka dia tinggalkan 'hadiah'

Iklan
Mazlan (tiga dari kiri) sebak menerima replika cek sumbangan khairat kematian yang disampaikan ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli bersama Mohandas (lima dari kanan) ketika kunjungan di rumah waris di Jalan Ibrahim, Simpang 3 Jeram, hari ini.

JERAM – Siapa sangka, kata-kata terakhir yang mahu ‘pulang’ dan mahu dekat dengan kedua ibu bapanya rupa-rupanya petanda operator kren, Allahyarham Mohammad Rizal Mazlan pergi buat selama-lamanya.

Ibunya, Pujimah Samdin, 49, berkata, kata-kata terakhir anak keduanya itu sempat dititipkan ketika bersalaman sebelum pulang ke Johor pada 14 April lalu, masih segar dalam ingatan.

Iklan
Iklan

"Akak masih ingat, arwah nak sangat balik sini dan cari kerja di sini sebab tak jauh-jauh dari kami. Sepatutnya arwah rancang nak nikah bulan ni tapi tak kesampaian.

"Sebelum kejadian tu, kami buat kenduri doa selamat dan tahlil sebab memang jadi kelaziman buat sebelum nak puasa. Rancang nak buat 6 April tapi arwah minta tunda buat 13 April.

Iklan

"Jadi, kami turutkan kehendaknya dan buat kenduri pada Sabtu tu dan semua adik beradik dapat berkumpul. Arwah pun masa tu tak tunjuk kelakuan yang pelik-pelik sebab nampak dia gembira saja,” katanya sebak.

Allahyarham Mohammad Rizal meninggal dunia selepas terlibat satu kemalangan berhampiran Tol Nilai ketika menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru pada jam 7 malam.

Iklan

Bapanya, Mazlan Ismam, 58, menyifatkan Mohammad Rizal seorang anak yang baik dan bertanggungjawab selain menjaga kebajikan kedua ibu bapanya meskipun tinggal berjauhan.

"Dalam sebulan mesti dia balik jenguk kami di sini dan tak sangka, arwah juga tinggalkan ‘hadiah’ buat kami sekeluarga melalui pencen penakat dan sumbangan khairat kematian Perkeso.

"Saat kami kehilangan anak, Perkeso datang beri sumbangan yang tak disangka rupanya inilah caruman anak yang ditinggalkan untuk kami...ya ALLAH syukur,” katanya.

Mazlan sekeluarga dikunjungi Pengurus Perkeso Klang, V Mohandas, Timbalan Pengurus, Mohd Redzuan Abu Jamil, Pegawai Skuad Perkeso Prihatin, Shahril Mohamed Salleh dan ADUN Jeram, Mohd Shaid Rosli di Jalan Ibrahim, Simpang 3 Jeram, semalam.

Sementara itu, Mohandas berkata, Skuad Perkeso Prihatin proaktif akan membantu mencari dan mengesan keluarga mangsa untuk prosedur tertentu sebelum sumbangan disalurkan.

"Dalam kes ini, tidak sampai tempoh seminggu Skuad Prihatin Perkeso bantu selesaikan semua dokumen dan memastikan waris tidak perlu bersusah payah lagi.

"Hasil semakan, waris mangsa berkelayakan memohon pencen penakat memandangkan mangsa dicarumkan dari 2013 sehingga kini tanpa sebarang masalah.

"Hari ini, kami datang sendiri untuk membuat serahan khairat kematian kepada keluarga mangsa dan harap sumbangan ini dapat meringankan beban keluarga,” katanya.